OKU PPDK meriahkan Hari Belia Negara Daerah Alor Gajah
LENDU 24 Julai – Program Sambutan Hari Belia Negara (HBN) peringkat daerah Alor Gajah di Kompleks Sukan Masjid Tanah hari ini diserikan dengan aksi 30 pelajar orang kurang upaya (OKU) dari empat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di daerah Alor Gajah.
Walaupun pergerakan fizikal terbatas, mereka tidak mahu melepaskan peluang mempamerkan kemampuan menyertai acara sukaneka seperti mencari gula-gula dalam tepung, meniup belon dan seumpamanya.
HBN yang disertai kira-kira 1,500 belia dari pelbagai pertubuhan belia itu dirasmikan EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, P Shanmugam yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Pelajar terbabit adalah dari PPDK Seri Pengasih, Durian Tunggal; PPDK Seri Malindo, Masjid Tanah; PPDK Seri Kemunting, Tanjung Bidara dan PPDK Seri Penawar, Kuala Sungai Baru.
Pelajar PPDK Seri Pengasih, Muhammad Fariz Ramli, 19, berkata dia teruja diberikan peluang menyertai acara berkenaan dan ceria mampu memberikan sumbangan kepada ppdk itu.
“Saya mahu jadi atlet dalam sukan untuk OKU dan kalau boleh, mahu mewakili Melaka,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Pada acara mencari gula-gula dalam tepung, Muhammad Fariz mempamerkan kemampuannya berlari kira-kira tiga meter dari tempat duduk untuk meniup tepung dalam piring.
Wajahnya yang dipenuhi debu tepung tidak menghalangnya untuk mendapatkan gula-gula dalam tepung sebelum berlari semula ke tempat duduk sebelum acara berkenaan disambung pelajar lain.
Anak keempat daripada lima adik-beradik itu bagimanapun tidak mampu menyaingi pelajar dari PPDK lain dalam acara meniup belon hingga pecah.
Penyelia PPDK Seri Pengasih, Norliza Adigan berkata, Muhammad Fariz yang sudah tiga tahun mengikuti pembelajaran di pusat berkenaan mampu mengenali huruf secara asas.
“Saya gembira menyaksikan Muhammad Fariz dan rakannya berjaya menyempurnakan tugas dalam pertandingan ini dan ia sudah pasti menjadi kenangan indah dalam minda mereka,” katanya.
Dia berkata, PPDK Seri Pengasih mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Alor Gajah yang memberi peluang kepada pelajar OKU menyertai acara berkenaan.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada belia ahli Rakan Muda yang bertungkus lumus membantu pelajar keempat-empat pusat berkenaan menjayakan acara sukaneka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.