Sorting by

×

OKU cekal kejar impian jadi pendakwah

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

LENDU 10 Mei – Walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU) Mohd Amirul Sood, 22, yang hanya berketinggian 0.76 meter (kira-kira 2.5 kaki) tetap bercita-cita tinggi menjadi pendakwah.

Biarpun bertubuh kerdil dan cacat pada kedua-dua kaki, Mohd Amirul menyimpan cita-cita menjadi pendakwah yang mampu menyampaikan ilmu ke seluruh pelosok alam.

Pelajar Pondok Baraqotul Qodiri, Kampung Pulau Semut, di sini itu tidak pernah lekang daripada memegang kitab pengajian agama, sama ada ketika berada di dalam kelas atau di luar kelas.

MOHD Amirul Sood.

Baginya, setiap detik yang berlalu harus dimanfaatkan dengan menimba ilmu, khususnya menghafaz ayat suci al-Quran, hadis dan doa tertentu yang harus dipasakkan ke dalam minda agar ia kekal.

“Ketika berusia empat tahun, saya diserang demam panas dan selepas itu, saya mengalami masalah kesihatan yang menyebabkan tumbesaran saya terbantut.

“Saya tidak mampu berdiri terlalu lama dan jika berdiri, kedua-dua lutut saya bertemu dan menyukarkan saya untuk berjalan,” katanya ketika ditemui di pondok berkenaan hari ini.

Selain Mohd Amirul, turut menghuni asrama di pondok berkenaan ialah 19 pelajar lelaki yang lain manakala 20 pelajar perempuan tinggal di asrama berasingan.

MOHD Amirul (kiri) dan rakannya, Mohd Harris Farhan menelaah pelajaran di luar kelas di Pondok Baroqatul Qodiri, Kampung Pulau Semut, Masjid Tanah.

Pondok yang dibina pada 2005 itu mempunyai keseluruhan 115 pelajar, termasuk warga emas yang menimba ilmu dalam bidang pengajian kitab usuludin, feqah, hadis, tafsir al-Quran dan seumpamanya.

Mohd Amirul yang lebih mesra dengan panggilan ‘Abu’ berkata, dia mengabdikan seluruh hidupnya semata-mata untuk menimba sebanyak mana ilmu, terutama dalam bidang usuludin yang amat diminatinya sejak menjejakkan kaki di pusat pengajian itu pada 2012.

“Ilmu Allah amat luas dan semakin banyak yang saya belajar, semakin banyak perkara yang saya tidak tahu.

“Tiada sesiapa pun yang boleh menyatakan bahawa dia sudah arif mengenai sesuatu cabang ilmu kerana jika kita berkata demikian, bermakna seolah-olah kita sudah sampai ke penghujung khazanah ilmu Allah,” katanya yang berasal dari Bukit Katil.

Katanya, demi mencapai hasrat menjadi pendakwah dia memberi sepenuh komitmen untuk berjaya dalam pengajian, selain berdoa dan bertawakal kepada Allah agar mengizinkannya menjadi insan berilmu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

951
Kongsi :
Previous post Maklum kepada polis jika jiran langgar SOP Aidilfitri- KP Perlis
Next post Polis Melaka keluarkan 87 saman trafik
Ubah saiz-+=