OKU bergelar kontraktor sebelum graduasi

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

MERLIMAU 19 Mac – “Alhamdulillah saya lihat kecenderungan dia dalam bidang landskap sejak menuntut di Kolej Komuniti Masjid Tanah membuahkan hasil.

“Sehinggakan kami sekeluarga nekad untuk membantunya membuka syarikat sendiri dan bersyukur anak saya kini bergelar seorang kontraktor berdaftar,” luah bapa Muhammad Zulhilmi, Abdul Rahim Adam, 59.

Muhammad Zulhilmi,23 yang memegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat pendengaran berjaya mengharumkan nama keluarga dan dia satu-satunya graduan Penerima Anugerah Khas dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2022 diadakan di Dewan Platinum Politeknik Merlimau, di sini hari ini.

Abdul Rahim yang sebak ketika ditemui pemberita meluahkan rasa kejayaan itu adalah hadiah terbesar buat keluarganya apabila satu-satunya anak OKU yang dibesarkan kini telah bergelar kontraktor hasil dari pengajian yang dituntut di kolej itu sejak tahun 2019.

“Pada awalnya dia memang kurang minat untuk melanjutkan pelajaran tapi hasil dorongan dari rakan dan keluarga kita melihat sampai hari ini minat dia itu semakin menjulang kecemerlangan, saya tak sangka anak macam ini boleh dapat ke arah seperti ini.

“Saya bersyukur apabila diberikan peluang Kolej Komuniti kerana Zulhilmi antara kumpulan pertama disepanjang pengajian yang mendapat peluang dalam pendidikan khas untuk melanjutkan pelajaran demi melakar masa depannya.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini dia mampu dilentur menjadi usahawan dan setakat didaftarkan sebagai kontraktor Zulhilmi kini mempunyai dua buah projek untuk disiapkan menerusi syarikatnya sendiri” katanya.

EXCO Pembangunan Belia, VP Shanmugam menyampaikan Anugerah Pendidikan Khas kepada Muhammad Zulhilmi Abdul Rahim, 13 sempena Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2022. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pada masa sama, Abdul Rahim berkata, Zulhilmi yang mengalami masalah pendengaran sejak berumur tiga tahun merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alaudin, Masjid Tanah dan cemerlang dalam bidang sukan di sekolahnya selain beberapa kali menempa nama ke peringkat kebangsaan.

“Dia juga pernah mewakili sekolah ke sukan paralimpik dalam sukan bowling.

“Pada usia 17 hingga 18 tahun dia memang minat bersukan tapi bila masuk 19 tahun kita lihat bidang yang diminati itu dah berubah jadi kita dorong dia kepada bidang yang dia minati.

“Dari situ kita lihat kecenderungan dia dalam bidang landskap dan kita dorong dia lagi untuk lebih cemerlang,” katanya.

Selain anugerah tersebut, anak jati Masjid Tanah itu turut menerima beberapa anugerah lain seperti Anugerah Harta Intelek Negara 2020, Anugerah Platinum dan memenangi Pingat Emas dalam beberapa pertandingan inovasi.

Dia yang direkodkan memperoleh Himpunan Purata Mata Nilai (HPNM) 3.85 dalam jurusan Sijil Asas Landskap sekali gus melayakkannya menerima anugerah terbabit yang disampaikan EXCO Pembangunan Belia, VP Shanmugam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1857
Kongsi :
Previous post Orang muda perlu diberi peluang, pastikan sasaran remajakan UMNO tercapai
Next post ‘Shell out’ hidangan terakhir keluarga
Ubah saiz-+=