OKU: Arkitek perlu hasilkan rekaan berempati – Ras Adiba
KUCHING, 26 Mac – Arkitek perlu menghasilkan rekaan berempati bagi memastikan bangunan mereka boleh diakses oleh semua orang dalam masyarakat termasuk orang kurang upaya (OKU).
Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata terdapat tujuh kategori OKU termasuk kurang upaya pendengaran, penglihatan dan fizikal yang perlu diberi pertimbangan sebelum menghasilkan rekaan sebarang tempat atau bangunan awam.
Beliau berkata cara terbaik untuk memahami keperluan golongan kurang upaya ialah dengan pereka meletakkan dirinya di tempat OKU bagi mendapatkan perspektif mereka sebelum menghasilkan rekaan.
“Saya tahu memang bagus untuk menghasilkan rekaan yang ‘wow’ dan moden, tetapi mari kita pastikan bahawa rekaan yang kita hasilkan serta bentangkan kepada pelanggan pada masa depan adalah sesuatu yang boleh dihargai oleh semua orang.
“(Arkitek perlu) Pastikan taman, laluan dan bangunan boleh diakses oleh OKU,” kata Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Beliau berkata demikian dalam perbincangan panel pada Forum Seni Bina dan Rekaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) 2022 di sini hari ini.
Ras Adiba berkata arkitek juga bertanggungjawab menasihati pemilik mengenai kepentingan mempunyai bangunan yang boleh diakses secara universal oleh semua orang.
“Selalunya arkitek yang saya jumpa berkata pemilik tidak mahu atau memerlukan bangunan yang mesra OKU. Apabila orang ramai mula merungut (mengenai ketiadaan kadar kemudahan untuk OKU) sesetengah pemilik terpaksa mengeluarkan belanja dan membina semula bangunan mereka.
“Itulah sebabnya anda perlu memastikan bahawa anda menasihati mereka dengan sewajarnya dan memahamkan mereka bahawa ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan,” katanya.
Beliau berkata rundingan juga perlu dilakukan bagi mendapatkan pandangan OKU sebelum menghasilkan rekaan atau mengusahakan projek baharu.
“Cara terbaik untuk memahami mereka ialah dengan cuba menghadiri perhimpunan OKU supaya anda boleh berada bersama-sama kami serta faham mengapa kami memerlukan sesuatu dan mengapa kami memerlukan sokongan anda,” katanya. — BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.