Nyawa hampir hilang dirempuh bot
TANJUNG BIDARA, 6 Jan – Tiga beranak hampir hilang nyawa selepas perahu gentian kaca mereka dirempuh bot besar dua bulan lalu tetapi ia tidak pernah melemahkan semangat mereka untuk turun ke laut.
Bagi Mohd Ibrahim Mat Daim, 65, dan anaknya, Mohd Bashir, 33, serta Mohd Iezaidi, 28, kejadian malang dan mengerikan itu akan terus terpahat kukuh dalam ingatan tetapi ia tidak melunturkan hasrat untuk terus mencari rezeki di laut.
Selain menggunakan modal sendiri untuk mendapatkan perahu gentian kaca dan peralatan menangkap ikan baharu, mereka bersyukur apabila menerima Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Dengan sumbangan RM9,000 LKIM, mereka menambah kira-kira RM3,000 lagi untuk mendapatkan enjin sangkut baharu untuk menggerakkan perahu gentian kaca bernilai RM11,000 yang sudah ditempah dengan menggunakan wang sendiri.
Penyerahan replika cek berkenaan disempurnakan Ketua Pengarah LKIM, Othman Abdul Latiff di kediaman Mohd Ibrahim di Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini kelmarin.
Yang turut hadir, Pengarah LKIM Melaka, Rosli Mustapa dan timbalannya, Zuly Syahira Mohd Surtar.
Mohd Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, 10 Oktober 2020, dia dan anaknya sedang menangkap ikan dengan menggunakan rawai, iaitu ratusan mata kail di perairan kira-kira satu batu nautika dari pantai Tanjung Tuan, dekat Alor Gajah.
Bagaimanapun, bot besar yang dalam pelayaran pulang menangkap ikan ke Port Dickson tiba-tiba menghampiri perahu mereka dan mereka menjerit serta melambai-lambaikan kain sebagai isyarat supaya tekong bot berkenaan mengelak daripada merempuh mereka, katanya.
“Bot itu tidak mengelak, sebaliknya ia merempuh bahagian tengah perahu kami, menyebabkan kami tercampak ke laut…saya dan Mohd Bahsir terpaksa berenang manakala Mohd Iezaidi berpaut pada tangki minyak.
“Kami bernasib baik kerana bot itu berpatah balik untuk menyelamatkan kami selepas kami terapung kira-kira 15 minit dan kami amat bersyukur kerana Allah masih memanjangkan nyawa kami,” katanya.
Berikutan itu, mereka kehilangan perahu gentian kaca, rawai dan enjin sangkut bernilai kira-kira RM30,000 tetapi tekong bot berkenaan memberikan ganti rugi RM10,000 bagi membolehkan mereka mendapatkan perahu baharu.
“Apa hendak dikatakan kerana segalanya sudah ditakdirkan dan bukan kehendak tekong itu untuk dengan sengaja merempuh kami tetapi kami amat bersyukur kerana sekurang-kurangnya kami masih bernyawa,” katanya.
Sementara menunggu perahu gentian kaca yang baharu siap tidak lama lagi, mereka terpaksa turun ke laut dengan menjadi awak-awak perahu nelayan lain di pangkalan nelayan Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara.