“Nyawa dan kesihatan rakyat mengatasi kepentingan mana-mana parti politik” – Mohd Rafiq
AYER KEROH 17 Okt. – “Kita kena ingat dalam saat genting hari ini sebenarnya kepentingan menjaga nyawa dan kesihatan rakyat mengatasi kepentingan mana-mana parti politik atau individu.
“Saya menyeru semua pihak tidak kira kerajaan atau pembangkang ketepilah segala perbezaan antara kita dan carilah titik persamaan sesama kita dengan duduk semeja dan fikirkan tentang rakyat dan negara,” itu kata Naib Presiden Bersatu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
Mengulas mengenai kemelut politik negara yang berlaku hari ini, beliau berkata, tindakan dan kenyataan media yang dikeluarkan membabitkan ketidakpuasan sesama rakan komponen atau kerjasama politik serta usaha pelbagai pihak menyuarakan usul undi tidak percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan hanya akan mewujudkan ketidakstabilan politik, malah ketidakstabilan kerajaan serta ekonomi negara yang akhirnya rakyat menjadi mangsa.
Beliau yang juga Ketua Badan Kepimpinan Bersatu negeri berkata, pemimpin dan parti politik perlu berwaspada bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana rakyat akan menghukum mereka yang bersikap pentingkan diri.
“Rakyat sedang menilai dan memerhatikan kita, saya yakin dan cukup percaya PRU-15 adalah medan yang akan digunakan sepenuhnya oleh rakyat untuk menghukum mana- mana pemimpin atau parti politik yang meletakkan kepentingan parti atau diri mereka mengatasi kepentingan nyawa dan kesihatan rakyat.
“Saya telah pun mendengar pelbagai maklum balas rakyat bahawa hari ini kepercayaan rakyat kepada pemimpin dan parti politik berada ditahap yang begitu rendah sekali kerana mereka merasakan mereka ini dijadikan mangsa kepada sikap pemimpin politik yang inginkan kuasa politik semata-mata,” katanya.
Mohd Rafiq berkata, sebagai pemimpin Bersatu, beliau tidak menafikan mahu melihat partinya lebih berjaya dan berada dikedudukan yang diidamkan sama seperti UMNO dan parti lain tetapi dalam situasi negara yang dilanda pandemik COVID-19 kepentingan menjaga nyawa dan kesihatan rakyat adalah keutamaan berbanding kepentingan politik.
“Bagilah COVID-19 dapat ditangani dan kes berada ditahap serendah mungkin, selepas itu keadaan terkawal seperti biasa bolehlah dicadangkan untuk menstabilkan kerajaan dan PRU.
“Kalau semua ikut nasihat Yang di-Pertuan Agong saya yakin kerajaan hari ini boleh bertahan walaupun ada pihak yang sangat teruja mahu bubarkan parlimen hendak bertempur dalam PRU,” katanya dengan mengingatkan ahli politik agar mengambil pengajaran dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19.
Terdahulu, semalam Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan ahli politik untuk bermuhasabah agar negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik ketika berdepan masa depan sukar akibat ancaman Covid-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat kepada Ahli Parlimen semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada Mei lalu, untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik, memahami dan menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.