Sorting by

×

NYAMUK BERWOLBACHIA KURANGKAN 70 PERATUS KES DENGGI DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TELOK MAS 26 April – Projek pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia di empat lokaliti di Negeri Melaka berjaya menurunkan 70 peratus kes demam denggi.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, nyamuk Aedes berWolbachia adalah nyamuk Aedes yang telah disuntik dengan bakteria wolbachia, di mana ia adalah satu kaedah kawalan biologi yang terbukti berkesan kerana dapat menyekat penularan virus denggi kepada manusia dan seterusnya melindungi manusia daripada mendapat jangkitan demam denggi.

Jelas beliau, empat lokaliti yang telah menunjukkan keberkesanan daripada projek tersebut adalah di Taman Bemban Jaya dalam daerah Jasin serta Pangsapuri Taman Tasik Utama Desa Taming Sari Sungai Udang dan Pangsapuri Seri Utama di daerah Melaka Tengah.

Susulan kejayaan itu, beliau berkata, satu lagi lokaliti telah dipilih bagi projek berkenaan iaitu di Taman Seri Telok Mas.

“Projek Wolbachia di Taman Seri Telok Mas ini akan bermula pada 28 April, di mana nyamuk Aedes berWolbachia akan dilepaskan sebanyak 30 kali pelepasan dengan setiap pelepasan adalah sebanyak 25,000 ekor dalam tempoh dua tahun enam minggu projek ini dijalankan.

“Projek Wolbachia di lokaliti ini dijangka akan berakhir pada Februari 2027,” katanya ketika berucap pada program pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia di Taman Seri Telok Mas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa.

Hee Sem berkata, meskipun projek Aedes berWolbachia itu berkesan, namun orang ramai tetap diingatkan agar sentiasa menjalankan aktiviti menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan luar kawasan rumah serta kebersihan persekitaran.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan setakat 19 April (Minggu Epid 16), sebanyak 403 kes denggi telan didaftarkan di Negeri Melaka, di mana ia menunjukkan penurunan 43.95 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang merekodkan 719 kes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

965
Kongsi :
Previous post LEBIH 15,000 MERIAHKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI UTEM
Next post KBS LUPUS 30 GELANGGANG FUTSAL TERBIAR, KERUGIAN CECAH RM12 JUTA