Sorting by

×

Nyalas perlukan gimnasium angkat berat

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

ASAHAN 2 Jun – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diharap dapat menyegerakan kelulusan pembinaan sebuah gimnasium di Nyalas bagi membantu pembangunan atlet angkat berat di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Fairul Nizam Roslan berkata, kelulusan pembinaan gimnasium khusus buat ahli Kelab Angkat Berat Nyalas penting bagi memastikan atlet yang banyak mengharumkan nama negeri dapat berlatih dengan sempurna.

“Sekarang ini latihan dilaksanakan di Dewan Japerun Asahan jadi kita harap kelulusan ini disegerakan KBS kerana kita mempunyai lebih 30 atlet pelapis berlatih di kawasan ini.

“Kita telah mempunyai lokasi tapak untuk pembinaannya cuma kita hanya perlukan kelulusan KBS untuk perkara ini dan setakat ini hampir RM70,000 telah diperuntukkan Majlis Sukan Negara (MSN) menyediakan segala peralatan dan perkakasan sukan ini.

“Jadi apabila sebuah gimnasium khas dibina ia mampu mendedahkan ilmu kesukanan angkat berat ini secara menyeluruh kepada mereka termasuklah pembelajaran teori, fisioterapi, anatomi malah kita mencadangkan bahawa gimnasium ini dilengkapi dengan kemudahan asrama untuk kegunaan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada penutupan Kursus Kemahiran Jangka Pendek (KKJP) di Pejabat KEMAS Asahan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal.

Pada program itu, Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri turut meraikan lima atlet yang  mengharumkan nama Melaka pada Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior Kebangsaan di Rompin, Pahang, baru-baru ini, dengan membawa pulang dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

Dalam pada itu, Fairul berkata, pihaknya akan mengangkat sukan angkat berat terus kehadapan dalam melahirkan bintang bertaraf dunia.

Ujarnya, setakat ini seramai 13 atlet angkat berat negeri yang mempunyai potensi besar telah ditempatkan di Sekolah Sukan Negeri (SSN) Seri Kota.

“Dengan pendidikan di sekolah ini aspek pendidikan dan latihan atlet akan lebih terjamin malah mereka akan dipantau bagi memastikan pendidikan mereka seimbang.

“Kita akan terus mengangkat perkara ini supaya DUN Asahan ini menjadi medan pengeluar atlet angkat berat di Melaka kerana kita yakin atlet yang sedia ada mampu mengharumkan nama Melaka, malah salah seorang atlet yang bertanding di Rompin sebelum ini pun merupakan pemenang pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) sebelum ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1747
Kongsi :
Previous post Harga ‘runtuh’, durian kayangan jadi buruan
Next post MPAG, PBT Korea Selatan berkongsi idea pembangunan
Ubah saiz-+=