Nurul Syasya tetap kebanggaan Melaka
AYER KEROH 22 Ogos – Walaupun gagal mempertahankan pingat emas yang diraih pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) MSN 2022, namun atlet angkat berat Melaka, Nurul Syasya Khairina Samsur tetap membuktikan dirinya berada di kelas tersendiri.
Pada temasya SUKMA XXI Sarawak semalam, Nurul Syasya berjaya membawa pulang pingat perak dalam kategori 59 kilogram (kg) wanita dengan angkatan keseluruhan 162kg, hanya kurang 8kg daripada atlet Perlis, Nurul Aisyah Athirah Mohd Nadzim yang meraih emas.
Pengurus Pasukan Angkat Berat Melaka Imran Lamin berkata, kejayaan diraih anak kelahiran Nyalas berusia 15 tahun itu tetap membanggakan kerana masih mampu bersaing dengan atlet-atlet senior dari negeri lain.
Malah, ujarnya, Nurul Syasya juga membuktikan dia kekal prospek besar negara dalam sukan angkat berat kerana terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan, meskipun beraksi dalam kategori berbeza tahun ini.
“Sebelum ini, Nurul Syasya beraksi dalam kategori 49kg dan tahun ini dia diletakkan dalam kategori 59kg dan terpaksa melalui tempoh diet yang agak panjang seiring dengan peningkatan usianya.
“Meskipun begitu, dia membuktikan mampu memberi saingan cukup hebat apabila menewaskan atlet dari Pahang berusia 20 tahun yang meraih gangsa, namun terpaksa akur kepada atlet Perlis yang juga lebih senior, selain mempunyai lebih banyak kelebihan dalam sudut fasiliti.
“Tidak dinafikan Nurul Syasya sedikit kecewa, namun dia tidak mahu patah semangat, sebaliknya berjanji akan bangkit pada kejohanan akan datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Imran, hari ini, kem angkat berat Melaka akan terus berusaha menambah kutipan pingat menerusi tiga atlet yang akan beraksi dalam kategori wanita 64kg, lelaki 89kg dan wanita 71k iaitu Nur Batrisyia Yaakob, Norhakim Norasri dan Qaseh Umairah Wahid.
Manakala, esok, Siti Nur Haliza Mohd Rizal akan turun beraksi dalam kategori wanita 76kg.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.