Nurul Syasya mahu terus sumbang pingat untuk Melaka
JASIN 8 Ogos – Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI, Sarawak kali ini akan menjadi medan untuk Nurul Syasya Khairina Syamsur, 15, mempertahankan gelaran jaguh angkat berat wanita masa depan negara.
Anak kelahiran Nyalas itu bertekad mahu memastikan kilauan emas yang dimenanginya pada edisi lalu dapat dipertahankan dan seterusnya membanggakan ibu bapa, jurulatih serta Negeri Melaka.
Meskipun begitu, dia yang juga atlet kebangsaan enggan menjadi terlalu yakin atau selesa, sebaliknya mahu kekal fokus untuk memberikan yang terbaik.
“Saya banyak berdoa agar tahun ini dapat menyumbangkan lagi pingat untuk Melaka seperti pada edisi SUKMA yang lalu.
“Insya-Allah, saya akan berikan yang terbaik untuk banggakan pasukan, Negeri Melaka dan juga ibu bapa kerana mereka banyak berkorban untuk saya hingga ke tahap ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, Nurul Syasya ditemui ketika menerima lawatan daripada bapa angkat kontinjen angkat berat Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan di Pusat Latihan Angkat Berat, Kesang Tua, di sini.
Menurut Nurul Syasya, sebelum bermulanya temasya SUKMA pada 17 hingga 24 Ogos depan, dia banyak memberi fokus kepada teknik angkat bagi mengelakkan isu kecederaan pada saat akhir.
“Fokus amat perlu, jangan sesekali ‘lembik’ atau tersalah langkah kerana jika mengalami kecederaan, ia akan membuat kita terlepas aksi penting. Jadi, teknik angkatan yang betul amat penting.
“Malah saya turut berpegang kepada nasihat pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020, Hidilyn Diaz antaranya jangan tinggal latihan atau tidur lewat dan kurangkan bermain telefon bimbit terutamanya pada waktu malam kerana katanya kalau mahu berjaya itu antara disiplinnya,” katanya.
Tambah Nurul Syasya pada temasya kali ini, dia menjangkakan akan berdepan saingan daripada atlet Perlis, namun dia tetap yakin segala latihan dan persiapan yang dilakukan bersama jurulatih akan membuahkan hasil.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.