Sorting by

×

Nur Fadhilah Damia hanya ada satu buah pinggang

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

PENGKALAN BATU 5 Disember – Melihat dari luarannya, pemilik nama Nur Fadhilah Damia Mohd Iszwan, kelihatan seperti kanak-kanak seusianya yang lain.

Namun siapa sangka, anak kecil berusia tujuh tahun itu, kini bergantung dengan hanya satu sahaja buah pinggang selepas organ utamanya itu terpaksa dibuang ketika dia berusia dua tahun selepas disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap tiga.

Menurut ibu kanak-kanak itu, Siti Aishah Arshad, 36, sebelum itu anak keduanya tidak mempunyai masalah kesihatan sehingga tiba-tiba perutnya kembung serta tidak mahu makan.

Katanya, ketika mendapat perkhabaran anaknya menghidap kanser, dunianya dan suami bagaikan terhenti malah terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja sebagai akauntan bagi memberi perhatian penuh.

“Mulanya bukan keputusan yang mudah untuk saya dan suami kerana buah pinggang kanannya terpaksa dibuang tetapi selepas doktor memaklumkan dia masih boleh teruskan kehidupan dengan hanya satu buah pinggang kami bersetuju demi kesembuhanya.

“Enam bulan selepas pembedahan dia tidak dapat berjalan, apabila bangun dan melangkah akan kembali jatuh malah ketika berumur tiga tahun beratnya hanya tujuh kilogram sahaja.

“Sebagai ibu ketika itu, memang sedih apabila lihat anak sendiri bukan sahaja tiada rambut malah kening pun tiada ketika itu,” katanya.

photo_2022-12-05_01-07-37
Lilin yang dipegang di dalam gelap tanda simbolik harapan kepada pesakit kanser pada Majlis Perasmian Program Relay For Life (RFL) Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NSCM) Tahun 2022 di Kolej Universiti Manipal, Jalan Batu Hampar, Bukit Baru, Melaka. Foto: MR. AZLI

Siti Aishah dan anaknya itu ditemui pada Majlis Perasmian Relay For Lite (RFL) – Luminaria 2022 yang disempurnakan Ecxo Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, selain turut dihadiri Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM) Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali serta Pengarah Urusan, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr M Murallitharan.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, selepas 18 kali menjalani rawatan kimoterapi dalam tempoh dua tahun, anaknya itu kini sembuh daripada kanser.

“Alhamdulillah, kami syukur sangat apabila dia kembali pulih dan dapat jalani kehidupan seperti biasa. Dia seperti rakan seusianya yang lain tetapi kalau terlalu aktif dia akan cepat penat.

“Kini anak masih lagi perlu berjumpa doktor untuk rawatan susulan enam bulan sekali,” katanya.

photo_2022-12-05_14-05-48
Suindah Md Pazel, 45. Foto MR Azli

Sementara itu, bagi bekas pesakit pra kanser serviks Suindah Md Pazel, 45, seseorang individu yang diagnosis atau disahkan menghidap kanser perlu kuatkan semangat selain jangan cepat mengalah.

Katanya, ketika mengetahui dirinya menghidap pra kanser pada tujuh tahun lalu dia agak terkejut kerana dia seorang yang mengamalkan pemakanan serta gaya hidup yang sihat malah tidak mengambil makanan yang diproses.

“Saya tiada simptom tetapi tiga kali saya pergi untuk menderma darah tidak dibenarkan kerana bacaan darah rendah sebelum saya berjumpa doktor dan melakukan pemeriksaan lanjut.

“Walaupun terkejut namun saya bersyukur kerana mengetahui perkara ini lebih awal. Sudah pasti sebagai hamba Allah, ketika itu kita tidak boleh berserah sebaliknya perlu bertanggungjawab atas diri sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2249
Kongsi :
Previous post Fahmi mula tugas secara rasmi sebagai Menteri Komunikasi Digital
Next post Cadang wujud kad kesihatan untuk penerima JKM – Dr Akmal
Ubah saiz-+=