Sorting by

×

NRECC fokus tangani perubahan iklim terutama banjir – Nik Nazmi

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan memberi fokus sepenuhnya terhadap usaha menangani isu perubahan iklim kerana impaknya terutama banjir sudah menjadi bencana tahunan di negara ini.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan NRECC akan terus mendepani isu berkenaan dengan terus berusaha mencari penyelesaian kepada isu yang membelenggu masa depan negara itu.

Katanya Pakatan Harapan (PH) sentiasa mengutamakan isu perubahan iklim, bukan sahaja melalui Manifesto PH tetapi juga berdasarkan cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan Jawatankuasa Khas Perubahan Iklim dan Biodiversiti yang telah dibentuk pada 4 Ogos lepas ketika Anwar masih Ketua Pembangkang.

Beliau berkata malah pembentukan NRECC yang dipertanggungjawabkan untuk menangani perubahan iklim juga merupakan bukti kerajaan kini sudah mengambil langkah segera dan positif ke arah mencorak masa depan lebih mampan.

“Dalam pada itu, NRECC pada 19 Dis 2022 juga mencadangkan kepada Speaker Dewan Rakyat, pembentukan Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Matlamat utama Jawatankuasa Pilihan ini adalah untuk membantu kerajaan dalam mengesyorkan dasar yang jelas serta mengenal pasti kaedah mitigasi terhadap perubahan iklim.

“Kita sudah tidak boleh bergerak seperti biasa. Percayalah bahawa kami akan memperhalusi setiap komitmen kerajaan secara terperinci untuk memerangi perubahan iklim serta impaknya yang dahsyat,” katanya.

Mengenai krisis bencana banjir yang sedang melanda negara ini, Nik Nazmi berkata kementeriannya akan berusaha sedaya upaya menjalankan tanggungjawab memberi bantuan bencana banjir seperti amaran awal melalui Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Pengairan Saliran.

“Kami akan terus menyokong dan membantu mengikut keperluan setiap usaha yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia serta agensi berkaitan. Kerajaan Persekutuan sedang mengambil langkah proaktif untuk membantu rakyat dan akan meningkatkan lagi respons sekiranya perlu,” katanya. — BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1455
Kongsi :
Previous post Iktiraf belia, bantu lahir generasi berwawasan
Next post Mayat terakhir tragedi tanah runtuh ditemukan
Ubah saiz-+=