NPGRP pastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

PUTRAJAYA 30 Julai – Dasar Negara Bagi Amalan Baik Peraturan (NPGRP) yang mengandungi penambahbaikan peraturan baharu dan sedia ada dilancarkan hari ini bagi melahirkan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, berkesan dan telus.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, ia bagi menggantikan Dasar Negara bagi Pembangunan dan Pelaksanaan Peraturan (NPDIR) yang dilaksanakan selama lima tahun sebelum ini.

Beliau berkata semua kementerian serta agensi kerajaan persekutuan perlu mematuhi Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2021 berkaitan NPGRP yang digubal dan diedarkan oleh Jabatan Perdana Menteri.

“Impak pelaksanaan (NPGRP) ialah ia akan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan penjimatan kos pematuhan secara berterusan dan dapat mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar kepada peniaga dan rakyat secara keseluruhan,” katanya, ketika melancarkan NPGRP secara maya hari ini.

Menurutnya NPGRP yang bertemakan ‘Merangsang Produktiviti Menerusi Peraturan Berkualiti’ menekankan kepentingan pembangunan dan pelaksanaan peraturan yang berkualiti dalam memastikan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara.

Mohd Zuki berkata kerajaan mengambil langkah proaktif untuk menambah baik ekosistem peraturan negara agar lebih tangkas dan responsif dalam menghadapi situasi yang sukar akibat pandemik COVID-19.

Katanya amalan baik peraturan adalah satu daripada elemen penting dalam persekitaran perniagaan sebagai menyokong usaha negara untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi pada kadar 4.5 peratus tahun ini.

“Pelaksanaan NPGRP akan memperkasa pertumbuhan produktiviti yang pesat dan menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Mohd Zuki berkata, pelaksanaan NPGRP itu dilengkapi dengan Buku Panduan Amalan Baik Peraturan sebagai rujukan pihak kementerian dan agensi kerajaan.

“Saya menggesa kementerian dan agensi kerajaan, penggubal dan pengawal selia polisi dan peraturan untuk bertindak dengan lebih proaktif dalam membangunkan peraturan yang lebih berkualiti dan membuat semakan terhadap peraturan sedia ada agar ia menjurus kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, NPGRP adalah dasar baharu yang mampu membantu Malaysia meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

“Pendekatan NPGRP menambah baik tahap produktiviti perniagaan ke arah yang lebih tinggi dan pada masa sama memastikan sistem pengawalseliaan yang berkesan, cekap dan bertanggungjawab dalam mengukuhkan tadbir urus sektor awam.

“Ini seterusnya membawa kepada situasi ekonomi yang lebih baik dan dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata MPC diberi tanggungjawab sebagai agensi peneraju untuk memudah cara, memberi nasihat dan memastikan pelaksanaan NPGRP yang komprehensif dan efektif oleh institusi kerajaan.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

523
Kongsi :
Previous post Pasukan penyiasat JKKP mulakan siasatan segera tapak projek LRT 3
Next post Kes baharu COVID menurun ke 16,840
Ubah saiz-+=