Notis sehingga Rabu, bersih segera kawasan rumah
DURIAN TUNGGAL 7 Jun – Pemilik kediaman yang menjadikan rumah mereka sebagai ‘port’ pengumpulan barangan lusuh diberikan tempoh sehingga Rabu hadapan bagi melaksanakan kerja pembersihan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil berkata Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) juga sudah mengeluarkan notis dua minggu bermula 28 Mei lalu terhadap pemilik kediaman yang berkenaan.
“Namun hasil lawatan saya ke Taman Cempaka Height pada Selasa lalu (4 Jun) mendapati pemilik rumah masih tidak melakukan sebarang tindakan atau kerja-kerja pembersihan.
“Selepas terima aduan penduduk, saya turun padang untuk lihat sendiri kawasan itu, pemilik rumah ini pernah dikenakan saman pada tahun 2010, namun masih mengulangi kesalahan yang sama.
“Jadi kita akan turun padang sekali lagi pada tarikh akhir notis untuk lihat keadaan rumah itu, jika tiada pembersihan kita akan kenakan tindakan atau denda lebih tegas,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata jika perkara itu dibiarkan tidak mustahil akan mengundang kehadiran haiwan liar atau berbisa.
“Ini sudah tentu akan menganggu ketenteraman penduduk sekitar khususnya jiran berdekatan,” katanya.
Terdahulu Zahari bersama wakil Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan MPHTJ telah mengadakan lawatan melihat keadaan rumah berkenaan yang dijadikan sebagai ‘port’ pengumpulan barang lusuh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.