Norma baharu tidak jadi masalah
TELOK MAS, 15 Julai – “Walaupun agak janggal melihat keadaan sekeliling dengan norma baharu selain rakan memakai pelitup muka serta disediakan tempat untuk memakai cecair pembasmi kuman tetapi itu mesti dipatuhi demi memutuskan rantaian Covid- 19,” kata pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pernu Nur Batrisya Redzuan Goh.
Menurutnya, selepas sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kira- kira empat bulan dia amat teruja untuk kembali ke sekolah.
Tidak ketinggalan ibu dan bapanya turut berpesan kepadanya untuk menjaga keselamatan diri dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan agar dia tidak alpa.
“Teruja memang teruja untuk kembali semula ke sekolah namun ada juga perasaan takut namun apabila melihat semua orang sama ianya seakan tiada apa-apa.
“Malah ibu dan ayah juga turut berpesan agar selalu membasuh tangan serta jaga jarak dengan rakan-rakan,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional Sains dan Inovasi) Datuk Noor Effandi Ahmad meluangkan masa meninjau hari pertama sekolah dibuka sepenuhnya hadir sama pengetua SMK Pernu Jasmi Husin.
Menurut beliau, kemasukan baru pasca Covid-19 menunjukkan kehadiran yang memuaskan dan pihak sekolah mematuhi segala SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Saya yakin sesi pembelajaran pelajar akan berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah selain guru juga akan memainkan peranan dalam suasana norma baharu ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, di Melaka seramai kira- kira 48,905 pelajar Tingkatan Satu dan Empat termasuk Kelas Pendidikan Khas kembali memulakan sesi persekolahan hari ini selain 26,855 pelajar Tingkatan Lima pada 24 Jun lalu.