Norma baharu dan disiplin
NORMA baharu atau kebiasaan baharu dalam kehidupan akibat wabak COVID-19 yang menyerang seluruh dunia berkait rapat dengan isu disiplin. Ia tidak pernah berlaku sebelumnya dan sifatnya mudah menular.
Bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan masyarakat rasa asing dan rimas dengan kebiasaan baru ini apabila minta tinggal di rumah demi keselamatan. Biasanya manusia suka bebas bergerak dan melakukan kegiatan harian tanpa sekatan.
Tetapi bahaya COVID-19 boleh meragut nyawa yang banyak seperti berlaku di Barat dan negara-negara lain. Alhamdulillah dengan pendekatan kerajaan memberi keutamaan kepada menyekat dan mengatasi penularan COVID-19 dan kegigihan petugas utama barisan depan ancaman ini dapat diatasi walaupun belum sepenuhnya reda. Kebimbangan masih ada sekiranya norma baharu gagal dihubungkan dengan displin kawalan diri.
Adab dalam tradisi Islam terhubung kait dengan disiplin fikir, displin hati dan disiplin amal. Tanpa disiplin ini kita akan kehilangan adab dan kehidupan menjadi lepas bebas tanpa kawalan dan menyebabkan wabak semakin tidak dapat dikawal.
AMALAN BERDISIPLIN KUNCI PENCEGAHAN WABAK
Salah satu kelemahan yang ada pada manusia ialah mematuhi disiplin. Warga yang berdisiplin dalam berfikir menghasilkan pemikiran yang mendatangkan menfaat. Bersiplin menghasilkan niat sebagai asas kepada amal yang mana dalam kehidupan dipandu oleh akal yang sihat, hati yang jernih menghasilkan amal tertib dan terpedoman.
Mendepani wabak yang sangat bahaya mengajak kita berfikir tanpa disiplin diri dan mematuhi SOP yang dikenakan mengakibatkan penularannya semakin cepat merebak. Akal yang waras mengakui hakikat bahawa tanpa penawar atau ubat pengatasinya disiplin diri menjadi faktor yang amat mustahak diamalkan.
Hal yang sama berlaku tanpa disiplin hati gejolak nafsu mengambil tempat. Timbullah perasaan meremeh prosedur operasi standard (SOP) bila sedikit kebebasan yang diberi hingga penjarakan sosial dilanggar, pelitup muka dan hidung diabaikan, menghindarkan diri dari pemeriksaan suhu badan dan pencucian.
Ini bermakna disiplin diri hanya bersifat sementara dan menganggap ianya sangat penting mengelakkan penularan COVID-19 dan berlagak bebas tanpa menghiraukan akibatnya.
Disiplin diri adalah kunci penting bagi membantu meredakan wabak dari merebak. Malah dalam keadaan biasa sebelum berlakunya wabak ini masalah disiplin adalah masalah utama dalam kehidupan kita.
Kita kurang menjaga kebersihan persekitaran, menepati waktu seperti dijanjikan, beratur dan tertib dalam barisan, berebut-rebut mendapatkan sesuatu dan akhirnya siapa yang kuat serta licik dia dapat, manakala siapa yang lemah tinggal di belakang.
BUDAYAKAN NORMA BAHARU
Norma baharu ini mendidik masyarakat supaya sabar, patuh kepada SOP dan kalau ia dibudayakan maka ianya menjadi jawapan terbaik kepada pencegahan COVID-19 dari terus menular.
SOP yang dilaksanakan dan dipatuhi dengan baik memberi kesan baik kepada kita, di samping kebebasan yang terbatas diberi secara berperingkat dalam mengatasi wabak ini dari merebak.
Dengan disiplin diri memilih duduk di rumah terutama kepada golongan kanak-kanak dan warga emas, SOP yang dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berjaya menjadikan Malaysia negara satu digit penularan COVID-19.
Sekiranya amalan SOP ini dapat dipatuhi dengan penuh berdisiplin, kita bakal membentuk satu sikap dan gelagat baharu di kalangan kita supaya selepas berkhirnya wabak ini masyarakat mudah patuh kepada peraturan yang menjadi kunci utama kepada disiplin. Sejarah masa silam dalam Tamadun Islam, tertib dan adab menjadi faktor utama yang menyebabkan peradaban lahir dan kesejahteraan berjaya dijelmakan.
BERBALIK KEPADA SUDUT ISLAM
Islam mengajar umatnya supaya patuh kepada Allah dan Rasul dan juga Ulul Amri iaitu pihak yang memerintah. Bila pihak berkuasa agama sesebuah negeri atau negara memberi sesuatu fatwa dan mengeluarkan arahan ianya telah dibincangkan di kalangan ulama serta golongan yang pakar mengenai kesihatan, bukannya mempersoalkan mengapa tidak boleh bersolat Jumaat seperti biasa.
Orang Melayu harus belajar patuh dan taat kepada keputusan pihak yang berkuasa. Pihak berkuasa bukan sahaja perlu memahami masalah kehidupan warganya tetapi juga prihatin terhadap masalah ‘livelihood’ atau kebajikan hidup yang memberi kesan ekonomi yang langsung, peluang pekerjaan yang terdapat, pengangguran yang terjadi dan perniagaan serta pengeluran barangan terganggu.
Ianya kembali kepada sikap positif kita supaya sabar menghadapi cabaran wabak yang tidak pernah berlaku di negara kita dan dunia sebelum ini.
Sebagai umat beragama kita kena melihat ini sebagai pengajaran mengenai kesilaman kita yang tidak berdisiplin dan beradab menyebabkan pelanggaran hubungan sosial berlaku dan kerosakan alam sekitar terjadi. Ini yang disebutkan oleh Allah dalam al-Quran bahawa kerosakan alam termasuk manusia adalah akibat perbuatan tangan-tangan manusia sendiri.