Sorting by

×

Norhizam tetap pendirian sebagai wakil rakyat Bebas

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

PENGKALAN BATU 4 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee kekal dengan pendiriannya sebagai wakil rakyat Bebas yang menyokong kerajaan memerintah.

Jelasnya, dalam kemelut politik melanda perkara itu bukan menjadi ‘mainan’ wakil rakyat, namun perlu lebih menumpukan kesusahan rakyat yang berdepan kesukaran pandemik COVID-19.

“Situasi ini kita perlu lihat dengan jelas bahawa saya masih sokong kerajaan yang ada sekarang ini dan ini bermakna kerajaan negeri masih lagi stabil.

“Jika saya tidak sokong mungkin ia tidak stabil. Sebagai Adun bebas, saya sokong parti yang memimpin negeri ketika ini supaya rakyat tidak tengok kemelut politik ini berpanjangan.

“Bagi saya yang waras ini, kita tidak perlu lah bergaduh tapi perlu fokus kepada rakyat yang perlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Japerun Pengkalan Batu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Norhizam yang diperkatakan sebagai ‘penentu’ kerajaan negeri tetap bertegas untuk sebagai wakil bebas dalam menyampaikan khidmatnya kepada rakyat.

“Rakyat sekarang ibarat jatuh ditimpa tangga, sudahlah tiada kerja, susah pula nak makan, anak nak sekolah lagi, patut ke kita harini nak bercerita soal politik lagi?

“Kalau ada yang tanya kemana saya pergi, saya tetap tegas masih Adun bebas dan saya pilih untuk tetap bantu rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, sejak kemelut itu melanda beberapa panggilan telefon telah diterimanya dari pelbagai pihak yang mungkin tertanya-tanya dengan kedudukannya di negeri ini.

“Panggilan telefon saya tidak berhenti berdering sejak semalam, tapi saya langsung tidak melayannya kerana mungkin ada yang tanya keadaan saya sekarang.

“Saya terus mengabaikan kerana bagi saya ini bukan masanya, kita perlu fokus kepada masalah rakyat bukannya politik,” katanya.

UMNO menerusi Majlis Tertingginya semalam berpendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pada Mac tahun lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka tumbang selepas Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) mengumumkan keluar daripada gabungan itu dan membentuk kerajaan negeri baharu.

Daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Barisan Nasional (BN) Melaka mempunyai 14 kerusi, BERSATU dua kerusi, PH 11 kerusi dan Bebas satu kerusi.

Sementara itu, bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka itu berkata, beliau turut menghormati kenyataan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Seri Ghafaar Atan yang menyatakan beliau akan menyertai UMNO.

“Saya menghormati kenyataan beliau yang lebih berpengalaman, apa pun tunggu keputusan saya, mungkin pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

401
Kongsi :
Previous post Kerajaan negeri Melaka masih kukuh
Next post 24 kematian di Melaka, rekod tertinggi setakat ini
Ubah saiz-+=