Nombor 612 bawa tuah
LENDU 25 Julai – Kalau sudah disuratkan Allah, pasti rezeki itu tidak ke mana-mana, begitulah rezeki terpijak Mohd Salleh Adam, 47, membawa pulang hadiah motosikal Honda Wave 110 pada cabutan bertuah Pertandingan Memancing Hari Belia, di sini, semalam.
Bapa tiga anak berusia antara tiga hingga lapan tahun itu memohon Allah memurahkan rezekinya berikutan dua motosikal sedia ada sudah uzur.
“Ketika memancing, saya memohon kepada Allah agar memurahkan rezeki saya memenangi hadiah motosikal tunggal disediakan penganjur pertandingan.
“Alhamdulillah, Allah tidak menghampakan saya dan sebaik sahaja nombor itu diumumkan sebagai pemenang, saya menadah tangan mengucapkan kesyukuran,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah pemenang pertandingan itu dan cabutan bertuah di Tasik Taman Rekreasi Durian Daun, di sini.
Hadiah disampaikan Pengarah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Melaka, Khairul Adri Rosli.
Pertandingan itu dianjurkan bersama KBS, JAPERUN Lendu dan Ajib Fishing sempena sambutan Hari Belia Negara Peringkat Daerah Alor Gajah.
Mohd Salleh yang tinggal di Gangsa, Batu Berendam berkata, kedua-dua motosikal dimilikinya sudah uzur dan dia bimbang kenderaan itu akan menelan kos tinggi untuk diselenggara.
Dia yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Rendah Arab Jabatan Agama Islam (JAIM) al-Faizin, Alor Gajah berkata, motosikal baharu membolehkannya berulang alik ke tempat kerja tanpa perlu bimbang mengalami kerosakan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.