NILAI KERUGIAN AKIBAT KEBAKARAN DI MELAKA MENURUN
AYER KEROH 27 Januari – Nilai kerugian akibat kebakaran di Melaka merekodkan penurunan sepanjang tahun lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka Penolong Persuruhjaya Bomba (PPjB) Mohd Pisar Aziz berkata, nilai kerugian itu menurun hampir 50 peratus iaitu RM25.702 juta berbanding sebanyak RM50.174 juta pada tahun 2023.
Menurutnya, penurunan itu, antara lain disumbangkan daripada kempen kesedaran yang dijalankan masyarakat mengenai kepentingan keselamatan kebakaran ketika berada di rumah selain premis perniagaan.
“Berdasarkan data yang kita terima, nilai harta yang berjaya diselamatkan untuk tahun 2024 pula adalah sebanyak RM331.49 juta.
“Manakala, sebanyak 1,850 panggilan kecemasan diterima membabitkan kebakaran pada tahun lalu, di mana ia meningkat berbanding 1,391 panggilan pada tahun 2023.
“Secara keseluruhan, sebanyak lima kematian, 25 mangsa cedera dan 48 mangsa diselamatkan akibat kebakaran sepanjang tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Op Siaga Raya Bomba Sempena Tahun Baru Cina 2025 JBPM Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, semalam.
Menurut Mohd Pisar, sempena musim perayaan yang akan tiba, JBPM Melaka akan meningkatkan kesiapsiagaan dengan membuat rondaan di lokasi ‘hotspot’.
“Ia termasuklah kawasan ‘hotspot’ kemalangan, lokasi tumpuan pelancongan serta pantai-pantai peranginan di negeri ini,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.