Nilai eksport biji dan produk koko cecah RM3.2 bilion, dijangka terus meningkat – Wee

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

PEKAN NANAS, 24 Julai – Nilai eksport biji koko dan produk hiliran berasaskan koko dijangka terus meningkat tahun ini selepas mencatatkan peningkatan memberangsangkan tahun lepas, berikutan trend positif permintaan terhadap produk tempatan di luar negara.

Malah, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata bagi tempoh Januari hingga Mei 2022, nilai eksport itu mencecah RM3.2 bilion yang turut membuktikan potensi sektor tersebut.

“Nilai eksport biji koko dan produk koko pada tahun lepas meningkat 9.6 peratus kepada RM6.87 bilion berbanding RM6.27 bilion pada tahun 2020.

“Antara produk hiliran berasaskan koko yang mendapat permintaan tinggi adalah serbuk koko, pes koko dan produk coklat yang mendapat permintaan besar dari Timur Tengah dan negara-negara ASEAN,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan pusat keusahawanan coklat Tanjung Piai, di sini, hari ini.

Turut hadir pada perasmian itu ialah Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) Rahimah Majid.

Mengulas selanjutnya, Wee berkata bagi melahirkan lebih banyak usahawan serta produk tempatan berasaskan koko yang bernilai tinggi, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha menerusi Program Pembangunan Usahawan Coklat di bawah Projek Pembangunan Usahawan Coklat serta Program Promosi Koko dalam Rancangan Malaysia ke-12.

Sehingga kini program itu telah berjaya membangunkan seramai 242 orang usahawan coklat buatan tangan di seluruh negara, katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pusat keusahawanan yang dibuka pada hari ini, dapat membantu dalam menjana pendapatan setempat khususnya golongan B40 dan juga belia.

“Pusat keusahawanan ini adalah yang pertama dibangunkan dengan kerjasama LKM dan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

“Sesiapa yang berminat akan diberi latihan. Kita mahu melahirkan usahawan berkualiti yang menggunakan model perniagaan yang tepat dan membuat produk menerusi latihan berperingkat yang dapat memberi pulangan lumayan,” katanya.

Wee berkata peserta kursus tersebut akan diberikan pendedahan kemahiran pembuatan coklat buatan tangan, asas-asas keusahawanan serta bantuan pemasaran dan penjualan hasil produk di premis sama sebagai khidmat sokongan awal sebagai usahawan coklat.

“Pada peringkat awal pelaksanaannya, pusat ini dijadual membimbing seramai 300 bakal usahawan. Pusat ini juga berupaya mewujudkan peluang menjana pendapatan untuk golongan B40 di kawasan yang berminat menceburi industri pembuatan coklat buatan tangan,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1079
Kongsi :
Previous post Penantian berakhir, kehilangan Muhammad Iman terjawab – Ibu
Next post Jenazah lima sekeluarga maut kemalangan selamat dikebumikan
Ubah saiz-+=