Sorting by

×

Nikmat berbudi kepada tanah

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

DURIAN TUNGGAL 27 Feb – Tiga rakan yang menyahut seruan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk memajukan sebidang tanah terbiar dengan tanaman nanas varian MD2 kini mula memperoleh hasil lumayan.

14 bulan lalu, Muhammad Zaidil Fitri Sabtu, 26, dan dua rakan kongsinya, Adli Zikri Rosdi, 25, serta bapa Adli, Rosdi Mohamed, 48, bermandi keringat membersihkan tanah terbiar di Kampung Parit Melana, di sini.

Muhammad Zaidil berkata, dia dan rakan kongsinya sepakat membelanjakan RM10,000 bagi membersihkan tanah seluas kira-kira 1.2 hektar untuk merealisasikan projek penanaman nanas MD2 yang berkualiti tinggi.

“Kami menerima bimbingan dan galakan daripada pegawai Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Melaka/Negeri Sembilan untuk menjayakan projek itu.

“LPNM bermurah hati membantu menyediakan 17,000 benih nanas untuk ditanam di kebun seluas 0.8 hektar manakala baki 0.4 hektar lagi dijadikan tanah simpanan untuk memindahkan anak nanas atau suluh daripada nanas di kawasan 0.8 hektar,” katanya ketika ditemui di kebunnya hari ini.

Dia berkata, aspek pembajaan dan memelihara tanaman daripada serangan makhluk perosak amat penting dipraktikkan dengan sempurna bagi memastikan projek itu membuahkan hasil lumayan.

Rosdi memotong nanas MD2 di kebunnya di Kampung Parit Melana, Durian Tunggal Alor Gajah.

Hasilnya, mereka sudah mampu tersenyum lebar dan bersyukur apabila berupaya menuai hampir 500 kilogram nanas yang dilakukan secara berperingkat.

“Pengguna berpeluang datang sendiri ke kebun untuk memilih buah mengikut pilihan sendiri dan kebanyakan mereka adalah peniaga minuman dan pembuat kuih berasaskan nanas,” katanya.

Bagi jualan secara runcit, ketiga-tiga rakan kongsi itu menawarkannya pada harga RM5 sekilogram manakala bagi jualan secara borong, harga ditawarkan RM3.50 sekilogram.

Dia berkata, sejak menawarkan jualan secara terus minggu lalu, kebun berkenaan tidak putus menerima kunjungan penggemar nanas MD2 yang mahu menikmati buah segar dari kebun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1866
Kongsi :
Previous post DUA PPS di Hulu Terengganu dinaiki air
Next post Gangguan bekalan elektrik di Terengganu ambil masa untuk dipulihkan – TNB
Ubah saiz-+=