Sorting by

×

NIGHT SAFARI JADI PILIHAN BILA LARUT MALAM

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 6 April – Zoo Melaka menerusi produknya iaitu ‘Night Safari’ menjadi tumpuan pengunjung dari dalam serta luar Melaka bersempena inisiatif Kerajaan Negeri iaitu Melaka Bila Larut Malam.

Menariknya, inisiatif yang dilaksanakan pada Sabtu pertama setiap bulan itu menawarkan tiket RM10, sekali gus memberi peluang buat pengunjung menikmati produk pelancongan negeri pada harga yang murah.

Setakat jam 10 malam, Zoo Melaka telah menerima lebih 230 pengunjung yang mahu merasai pengalaman Night Safari.

Bagi pelancong dari Johor, Mohd Yusof Mohd, 38, dia menyifatkan kunjungannya ke Night Safari adalah satu pengalaman baharu yang pertama kali berkunjung ke zoo pada waktu malam.

“Ini adalah pengalaman baharu saya bersama isteri dan tiga anak kami, menikmati suasana malam di zoo. Memang menarik apabila berpeluang menyaksikan gelagat haiwan seperti harimau, buaya serta gajah pada waktu malam.

“Pakej Melaka Bila Larut Malam, memang benar-benar mesra pengunjung dan membantu kami untuk berjimat,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini, semalam.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Nurul Izzarin Baharin, 24, berkata, dia telah merancang awal untuk ke Zoo Melaka, selepas mendapat maklumat mengenai pakej Melaka Bila Larut Malam yang tular di TikTok sebelum ini.

“Dengan hanya berbelanja tiket yang berharga RM10, saya dapat nikmati pengalamn Night Safari di Zoo Melaka.

“Bagi saya, ini adalah satu inisiatif yang sangat baik daripada Kerajaan Melaka dan sudah tentu ini memberi nilai tambah buat rakyat tempatan untuk lebih menyokong sektor pelancongan negeri amnya,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

435
Kongsi :
Previous post AIDILFITRI ERAT PERPADUAN ORANG ASLI BUKIT PAYUNG
Next post MENELUSURI SUNGAI MELAKA DALAM SUASANA HARI RAYA