Sorting by

×

Nicky belum bolos-KPN

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KOTA LAKSAMANA 9 April. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ahli perniagaan yang diburu, Datuk Seri Nicky Liow Soo Hee masih bersembunyi dalam negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, keyakinan itu semakin jelas apabila rangkaian berkaitan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ yang diketuai ahli perniagaan itu sudah ditahan dan dituduh di mahkamah hari ini.

“Dia dipercayai masih berada dalam Malaysia kerana rangkaiannya dan semua berkaitan bersamanya telah ditangkap.

“Saya yakin pasukan khas di bawah kepimpinan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay terus gigih untuk menilai apa jua maklumat yang dikongsikan orang ramai,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Bersepadu Op Khazanah (OBK) Siri 7, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

Abdul Hamid berkata, polis memberi amaran kepada mana-mana individu yang terlibat melindungi individu buruan itu akan dibawa ke muka pengadilan.

Katanya, perkara itu serius kerana individu berkenaan telah diuar-uarkan sebagai orang yang dikehendaki.

“Siapa yang melindungi atau sengaja merahsiakan keberadaannya atau tahu di mana tempatnya, dia akan kami bawa ke muka pengadilan.

“Ini sesuatu yang serius, bukan satu drama atau main-main wayang, kita amat serius untuk membanteras aktiviti sebegini,” katanya.

Minggu lalu, media melaporkan dalang utama yang juga Pengasas Winner Dynasty berusia 33 tahun itu meloloskan diri susulan mendapat maklumat berhubung operasi yang bakal dibuat pada 20 Mac lalu itu daripada pegawai dan anggota polis serta agensi penguat kuasa lain yang berada dalam kawalannya, termasuk seorang bekas timbalan pendakwa raya.

Seramai 118 individu ditahan menerusi 70 serbuan dalam Operasi Pelican 3.0 yang dilakukan bagi mengesan dan menahan anggota kumpulan terbabit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

370
Kongsi :
Previous post Individu terbabit rakaman audio diminta buat laporan polis – KPN
Next post KASA saran wujudkan sistem pembetungan berpusat di kawasan perindustrian
Ubah saiz-+=