NGO diseru berganding bahu bantu golongan tercicir
AYER KEROH 18 Julai – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diseru bekerjasama dalam misi sukarelawan bagi membantu golongan tercicir di negeri ini.
Exco NGO, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, penyertaan NGO dalam misi sukarelawan juga akan menumpukan usaha memperluas vaksinasi kepada golongan terbabit terutama warga emas dan individu terlantar.
Katanya, golongan itu akan dikenal pasti menerusi pemantauan NGO dan dirujuk kepada Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) negeri.
“Kerajaan negeri sentiasa berkomunikasi bersama CITF dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat berkaitan golongan memerlukan suntikan vaksin terutama pesakit kronik dan terlantar.
“CITF bersedia menghantar satu kumpulan untuk memberi suntikan terbabit dari rumah ke rumah mereka,” katanya.
Berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di MITC, di sini hari ini.
Dalam lawatan itu, Mohd Rafiq turut memberikan kata-kata semangat kepada penghuni PKRC MITC serta menyerahkan 2,000 pek makanan dan 2,000 pelitup muka buat mereka.
Sementara itu ujarnya, bagi memperluaskan inisiatif Bakul Prihatin Negara pihaknya turut menyeru NGO di Melaka tampil membantu kerajaan negeri dalam mengagihkan bantuan itu.
Katanya, langkah itu dapat mempercepatkan proses agihan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dengan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“NGO adalah pelengkap kepada jentera kerajaan terutama dalam usaha mengurangkan bebanan masyarakat dalam tempoh sukar pandemik COVID-19,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.