Sorting by

×

NGAUMAN ‘SINGA’ DI BUMI BERSEJARAH

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KLEBANG 26 April – Seramai 1,500 delegasi rangkaian Lions Club di Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam dan Filipina ‘berkampung’ di Melaka bagi menghadiri Konvensyen 63 Multiple District 308 (MD 308) Lions 2025 di Encore Melaka, di sini, hari ini.

Konvensyen tersebut telah dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf dalam ucapannya menyanjung tinggi peranan pertubuhan itu yang telah banyak menabur jasa dan bakti dalam memberikan khidmat kemasyarakatan sejak ditubuhkan pada 1917.

Kata beliau, bersesuaian dengan tema tahun ini iaitu ‘Tinggalkan Legasi Anda’, ia secara tidak langsung melambangkan semangat berterusan bagi mengangkat nilai-nilai kesukarelawanan untuk diteruskan generasi akan datang.

“Persidangan ini menjadi platform penting untuk berkongsi idea, mengeratkan hubungan serta meneroka pelbagai kaedah baharu dalam memperkukuh usaha kemanusiaan di seluruh rantau ini.

“Mewakili Kerajaan Negeri, saya berbangga dengan inisiatif berterusan rangkaian pertubuhan ini dan komited untuk bekerjasama bagi mempromosi aspek kebajikan sosial dan pembangunan inklusif,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut berkongsi kepada delegasi bahawa Melaka bakal tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada September depan.

Tidak hanya itu, beliau memaklumkan negeri bersejarah ini juga akan menjadi lokasi pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) yang juga dijangka akan diadakan bersekali pada WTD dan WTC 2025.

Justeru, beliau mempelawa delegasi yang hadir untuk kembali ke Melaka pada September ini bagi menyaksikan kemeriahan sambutan yang akan diadakan penuh gilang-gemilang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

533
Kongsi :
Previous post MERCEDES S400 TERBAKAR, PEMANDU SELAMAT
Next post MELAKA RAYU KPKT SEGERAKAN PEMBINAAN LOJI WTE