
NENEK ‘BERTUNANGKAN’ SCAMMER, ANTARA KISAH PENIPUAN TERJADI DI MELAKA
MACHAP JAYA 15 Mac – Menemui cinta di usia senja mungkin sepatutnya menjadi kenangan terindah buat seorang wanita warga emas di negeri ini, namun semuanya punah apabila dia rupa-rupanya ditipu sindiket penipuan ‘love scam’.
Akibat penipuan ‘scammer’ itu, warga emas berkenaan mengalami kerugian RM75,000.
Itu merupakan antara kisah menarik dikongsikan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan pada program Peduli Siber, Asnaf Sejahtera anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertempat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Alor Gajah, di sini.
Menurut Fairul Nizam, pada mulanya dia terkejut apabila menerima mesej daripada warga emas berkenaan yang juga ibu tunggal memaklumkan akan bertunang tidak lama lagi.
Namun jelas beliau, kisah itu semakin menghairankan apabila pertunangan itu kononnya terpaksa ditangguhkan kerana ‘tunangnya’ mengalami kemalangan sehinggalah akhirnya mengetahui dia sebenarnya ditipu.
“Apabila saya melihat gambar tunangnya, saya sendiri terkejut kerana lelaki itu jauh lebih tampan dan muda daripada saya.
“Namun yang menyedihkan ialah warga emas ini bukan sahaja ditipu, malah mengalami kerugian RM75,000,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Menurut Fairul Nizam, bukan sahaja kes membabitkan ‘Love Scam’, bahkan ada juga di antara pasangan warga emas di Selandar yang ditipu menerusi panggilan telefon oleh individu yang menyamar sebagai polis.
Katanya, individu berkenaan bertindak mengugut pasangan suami isteri itu kononnya mereka telah melakukan kesalahan jenayah sehingga sanggup memindahkan wang hampir RM100,000 kepada individu tidak dikenali itu.
“Kes penipuan ini bukan sahaja berlaku secara dalam talian, malah ada yang tergamak menipu secara fizikal dengan menyamar sebagai penjawat awam dan sebagainya.
“Jadi, saya menyeru kepada semua untuk sampaikan kepada ahli keluarga kita bahawa berhati-hati dengan jenayah ‘scammer’.
“Saya mahu semua rakyat di negeri ini menjadi ejen anti scammer supaya kita dapat hentikan kes penipuan yang kian berleluasa ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.