Nenek antara 17 individu ditahan sertai parti liar

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

KUALA LUMPUR 4 Sept – Seorang nenek kepada dua orang cucu berusia 54 tahun dan seorang remaja lelaki berumur 13 tahun antara 17 individu ditahan kerana disyaki sedang leka berpesta liar termasuk menghisap dadah di sebuah di sebuah apartmen di Jalan Sultan Ismail, di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, kesemua individu yang ditahan terdiri daripada sembilan wanita dan lapan lelaki tempatan berumur lingkungan 13 hingga 54 tahun.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas pil ekstasi dan ketamin seberat 13.61 gram bernilai RM864 serta satu set kunci, kad akses premis dan sebuah pembesar suara.

“Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati seramai empat lelaki dan empat wanita disahkan positif syabu dan ketamin,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sahar berkata, hasil siasatan awal mendapati bahawa penganjur parti liar adalah seorang wanita tempatan berumur 23 tahun bertujuan menyambut hari lahir.

Beliau berkata kesemua individu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk direman selama empat hari hingga Isnin depan.

Kesemua mereka turut dikompaun RM2,000 setiap seorang di bawah Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) (Pelan Pemulihan Negara) (2) 2021.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

608
Kongsi :
Previous post 47.8 peratus populasi Malaysia lengkap dua dos vaksin – JKJAV
Next post ‘Dek Wan’ gagal pertahan emas Rio 2016
Ubah saiz-+=