Sorting by

×

Nelayan Vietnam kena cekup, peralatan RM1.5j dirampas

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KUALA TERENGGANU, 25 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 13 nelayan asing termasuk tekong warga Vietnam selepas didapati menangkap ikan secara haram di perairan Terengganu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata dalam operasi yang diadakan pada Selasa, pihaknya turut merampas bot, 500 liter minyak diesel, satu tan hasil laut serta peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

“Bot nelayan asing itu ditahan sekitar pukul 5.40 petang di kedudukan kira-kira 102 batu nautika tenggara Kuala Kemaman. Kesemua kru bot yang berumur 23 hingga 45 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia, 13 tahanan tersebut menjalani ujian saringan COVID-19 sebagai langkah pencegahan.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa permit yang sah.

Rashidilhadi berkata APMM memandang serius isu pencerobohan nelayan asing dan akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terpelihara.

“Orang ramai juga disarankan memberi kerjasama untuk membantu menangani sebarang aktiviti jenayah maritim dengan membuat aduan melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu menerusi talian 09-6884357,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

673
Kongsi :
Previous post Melaka, beberapa negeri ‘bergegar’ pagi ini
Next post Bomba Melaka terima tujuh panggilan gegaran bangunan
Ubah saiz-+=