NELAYAN UCAP TERIMA KASIH
TANJUNG BIDARA 21 Disember – Pembayaran sagu hati ex-gratia kepada nelayan yang terkesan susulan pembangunan Kuala Linggi International Port (KLIP) disifatkan sangat membantu dalam meringankan beban penerima.
Selepas menerima pembayaran fasa pertama pada tahun lalu, seramai 442 nelayan dari daerah Alor Gajah dan Port Dickson, Negeri Sembilan sekali lagi menerima insentif yang sama apabila pembayaran fasa kedua selesai dibuat dengan pertambahan nilai bayaran.
Bagi nelayan dari Kuala Sungai Baru, Muhammad Shahmim Rusali, 34, meskipun pembangunan KLIP sedikit sebanyak menjejaskan hasil tangkapan komuniti nelayan di kawasan itu, namun dia bersyukur kerana nasib mereka terbela.
“Sebagai nelayan laut dalam apabila berlakunya pembangunan sudah pasti ia memberi kesan kepada hasil tangkapan malah pukat digunakan juga sering rosak kerana terkena kapal dan sebagainya.
“Namun dengan sagu hati yang diterima ini sedikit sebanyak dapat membantu nelayan membeli peralatan mahupun membaiki pukat yang rosak.
“Selain itu juga, usaha Kerajaan Negeri yang melaksanakan pemutihan juga nyata membela nasib nelayan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima manfaat berkenaan,” katanya.
Dia ditemui selepas Program Penyampaian Bayaran Sagu Hati Ex-Gratia Kepada Nelayan Terjejas Akibat Cadangan Pembangunan Pelabuhan Antarabangsa KLIP Fasa 2, yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, semalam.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah dan Pengerusi KLIP Tan Sri Datuk Seri Dr. Noormustafa Kamal Yahya.
Seorang lagi nelayan dari Pengkalan Balak, Abdul Rashid Rahmat, 38, berkata, pembayaran sagu hati itu banyak membantu meringankan perbelanjaan bukan sahaja untuk keluarga tetapi juga membaik pulih bot.
“Tidak sangka untuk pembayaran fasa kedua ini ada peningkatan jumlah pembayaran dan ini betul-betul melegakan malah banyak boleh dimanfaatkan.
“Meskipun pembayaran ini dibuat secara berfasa tetapi ia amat membantu malah tarikh pembayaran juga bertepatan dan saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Jabatan Perikanan kerana menjadi pemudah dalam membela nasib nelayan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.