Nelayan tidak mampu turun ke laut akibat perubahan monsun

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

PANTAI KUNDOR 3 Okt. – Angin monsun yang berubah dengan cepat sejak minggu lalu menyebabkan kebanyakan nelayan tidak mampu turun ke laut akibat ribut.

Angin yang mula bertiup petang semalam itu berubah menjadi kencang malam tadi dan berlarutan pagi ini menyebabkan nelayan bukan setakat tidak mampu mencari rezeki, malah terpaksa memindahkan perahu dan peralatan menangkap ikan lebih jauh dari gigi pantai.

Kegagalan berbuat demikian akan mendedahkan perahu gentian kaca dan peralatan menangkap ikan seperti jaring dan rawai kepada risiko dihanyutkan ombak besar.

Mohd Rahmad Khamis, 36, berkata angin timur laut sekarang yang menggantikan angin selatan yang bertiup sejak hujung Jun lalu, lebih kuat berbanding angin selatan.

“Setiap kali angin timur laut datang, kami tidak dapat turun ke laut kerana laut bergelora dan berbahaya kepada perahu kecil yang kami gunakan untuk menjaring ikan dan udang serta menangkap ikan dengan merawai, iaitu ribuan mata pancing yang dipasang umpan.

“Saya terpaksa turun ke pantai malam tadi untuk meninjau keadaan perahu dan peralatan menangkap ikan yang terancam semasa ribut tetapi alhamdulillah, semuanya dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui di Pantai Puteri hari ini.

Beliau berkata, lazimnya angin timur laut bertiup dari Oktober hingga hujung November sebelum digantikan dengan angin timur atau lebih dikenali dalam kalangan nelayan sebagai angin betara.

Sementara itu, nelayan di perairan Melaka Barat di Pengkalan Balak, dekat Alor Gajah turut menerima kesan angin kencang timur laut yang semakin kuat pagi ini yang menyebabkan mereka tidak mampu merawai.

Mohd Ali Abu Bakar, 50, berkata perubahan monsun menyebabkan nelayan tidak mampu membuat keputusan dengan tepat sama ada mampu turun ke laut atau sebaliknya kerana ia berlaku dengan pantas.

“Contohnya, pagi semalam angin selatan tetapi tiba-tiba sahaja angin berubah menjadi angin timur laut pada petang dan menyebabkan nelayan tidak mampu membuat perancangan untuk turun ke laut, apatah lagi apabila angin bertambah kuat pagi
ini,” katanya.

Jabatan Meteorologi dilaporkan menjangka Malaysia memasuki fasa peralihan monsun yang bermula pada minggu lalu dan lazimnya menyebabkan berlakunya ribut petir berserta hujan lebat dalam tempoh singkat.

Cuaca seumpama itu berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan struktur yang tidak kukuh.

Ketika peralihan monsun, keadaan cuaca seumpamama itu lazimnya berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

Views:

3500
Kongsi :
Previous post SunPower bantu kelestarian penyu karah
Next post COVID-19: Tabika, taska Kemas di zon merah ditutup
Ubah saiz-+=