Nelayan pun guna teknologi sekarang
TANJUNG BIDARA 13 April – Menahan dahaga ketika berpuasa di bawah panas terik matahari di tengah laut adalah asam garam kehidupan nelayan demi rezeki untuk membiayai kehidupan keluarga tercinta.
Meskipun terpaksa menahan dahaga ketika menarik jaring di tengah panas, mereka tetap tabah menjalani ibadah puasa dan begitu juga ketika menarik perahu dari gigi pantai ke pangkalan perahu masing-masing.
Sebelum ini, mereka terpaksa mengerah seluruh tenaga dengan meletakkan kayu galang di bawah perahu bagi memudahkan perahu naik ditarik ke pangkalan.
Namun sekarang tugas itu dimudahkan dengan menggunakan troli dan jentera bertakal atau ‘winch’ sekali gus menjimatkan masa serta tenaga.
Mustafa Che Man, 55, berkata sejak dua tahun lalu dia sudah menggunakan troli dan ‘winch’ untuk memudahkan tugas menarik perahu gentian kaca yang sarat dengan peralatan menangkap ikan dan enjin motor sangkut 15 kuasa kuda dari gigi pantai ke pangkalan.
“Alhamdulillah, walaupun terpaksa menahan panas di tengah laut, saya tetap berpuasa dan syukur, kerja menarik perahu dimudahkan dengan bantuan mesin.
“Saya beli ‘winch’ berharga RM700 dan mengupah tukang membuat troli dengan kos RM1,000 untuk memudahkan kerja menarik perahu,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Pasir Gembur, Tanjung Bidara di sini, semalam.
Sementara itu Osman Samad, 50, berkata troli dan ‘winch’ meringankan beban nelayan untuk memastikan perahu dan peralatan menangkap ikan mampu dinaikkan ke pangkalan.
“Bukan mudah untuk menarik perahu yang berat dari gigi pantai ke pangkalan jika sekadar menggunakan kudrat semata-mata,” katanya.
Manakala Mohd Fazli Baba, 38, berkata kebanyakan nelayan di Melaka Barat dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi sudah menggunakan peralatan itu untuk meringankan beban kerja mereka.
“Pulang daripada menangkap ikan, sudah tentulah badan kami penat, ditambah pula dengan kerja menarik perahu ke pangkalan.
“Jadi, kami belanjakan wang poket sendiri untuk mendapatkan mesin berkenaan bagi meringankan kerja itu,” katanya.
Dia berkata, troli yang dilengkapi dengan roda membolehkan perahu ditarik naik hanya dalam tempoh kurang lima minit berbanding antara 10 hingga 15 minit jika menggunakan tenaga manusia.
Dengan jangka hayat lima tahun, troli dan jentera itu disifatkan nelayan sebagai pelaburan berbaloi bagi meringankan tugas mereka, katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.