Nelayan perlu segera warnakan perahu ungu

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER LIMAU 30 Ogos – Jabatan Perikanan mengingatkan nelayan supaya segera mewarnakan perahu dengan warna ungu bagi mematuhi penyeragaman warna perahu di negeri ini menjelang Januari 2022.

Tempoh setahun lebih yang diberikan jabatan itu akan tamat pada 31 Disember depan dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka berhadapan tindakan undang-undang.

Pengarahnya, Mohd Fauzi Salehon menegaskan, jabatan itu tidak akan melanjutkan tempoh yang diberikan mulai November tahun lalu.

Katanya, peraturan itu bagi memudahkan pihak berkuasa membuat penguatkuasaan dan pemantauan di laut dalam usaha memelihara sumber perikanan.

MOHD FAUZI.

“Setiap negeri mempunyai warna perahu masing-masing dan bagi negeri ini, jabatan memilih warna ungu bagi membezakan perahu nelayan Melaka dengan negeri lain.

“Warna ini juga dipilih kerana ia kurang menampakkan kekotoran pada badan perahu berbanding warna cerah seperti putih dan kuning.

“Nelayan negeri ini tidak dibenarkan menangkap ikan di negeri lain dan begitu juga sebaliknya dan jika ada nelayan yang melanggar peraturan itu, tindakan akan diambil,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Asyraf Ibrahim, 26, berkata beliau sudah mengecat perahu gentian kaca bapanya, Ibrahim Md Isa, 66, di pangkalan nelayan Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, dekat sini.

Katanya, walaupun terpaksa mengeluarkan kos membeli cat, bapanya akur pada peraturan berkenaan bagi memastikan tidak dikenakan tindakan undang-undang.

“Sebelum mengecat, saya menggosok badan perahu dengan kertas pasir bagi memastikan cat melekat berbanding jika tidak menggosoknya,” katanya.

Mohd Ali Abu Bakar, 51, berkata badan perahu berwarna ungu lebih mudah dikesan nelayan di tengah laut, termasuk ketika hujan.

“Sebelum ini tiada penetapan warna yang khusus untuk perahu di negeri ini tetapi notis untuk memperbaharui lesen perahu yang dikeluarkan Jabatan Perikanan sebelum ini menyatakan nelayan dikehendaki mewarnakan perahu dengan warna ungu,” katanya di Pangkalan Nelayan Kampung Pengkalan Balak, di sini.

Sehubungan itu, nelayan harus segera memanfaatkan baki empat bulan ini untuk mengubah warna perahu masing-masing kepada ungu, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1771
Kongsi :
Previous post 60.3 peratus rakyat Melaka lengkap dua dos suntikan
Next post Peniaga agih 1,000 Jalur Gemilang, semarak sambutan kemerdekaan
Ubah saiz-+=