Nelayan muda tambah pendapatan pasarkan udang galah dan ketutu hidup
AYER LIMAU 8 Jun – Seorang nelayan muda berjaya menambah pendapatan dengan membuat pelaburan RM30,000 membina kolam bagi memelihara udang galah dan ikan ketutu bernilai tinggi.
Muhammad Rezwan Maulud, 26, berkata kolam yang dilengkapi peredaran air dan oksigen itu mampu memastikan hidupan sungai itu hidup dengan sempurna.
Katanya, setiap kali mendapat udang galah dan ketutu yang ditangkap menggunakan jala dan joran, dia akan sedaya upaya menyelamatkan hidupan berkenaan dengan kaedah menyimpannya dalam tong kecil yang diisi air sungai.
“Setibanya di rumah, saya memindahkannya ke dalam kolam yang dilengkapi dengan sistem peredaran air dan oksigen bagi memastikannya mampu hidup lebih lama.
“Jika udang galah sudah mati saya pasarkan dengan harga RM70 sekilogram, yang masih hidup pula dijual antara RM90 hingga RM100 sekilogram,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina di sini hari ini.
Dia berkata, begitu juga dengan ketutu hidup yang bernilai antara RM90 hingga RM100 sekilogram berbanding ketutu sudah mati bernilai RM70 sekilogram.
Bapa kepada seorang anak lelaki berusia lapan bulan itu berkata, dia membina kolam berkenaan selepas menerima tunjuk ajar seorang peniaga ikan hiasan yang tidak lokek mencurahkan ilmu mengenai
sistem peredaran air bersih dan oksigen.
Ujarnya, bagi memastikan air paip mampu menjadi habitat udang galah dan ketutu, dia mencampurkan bahan anti klorin antara 15 hingga 20 gram setiap kali selepas menukar air.
“Selepas menggantikan air, saya masukkan anti klorin bagi membolehkan udang galah dan ketutu membesar dengan sempurna,” katanya yang menangkap ternakan itu di Sungai Ramuan Cina, Sungai Rembau dan Kuala Linggi .
Muhammad Rezwan berkata, tempoh udang galah dan ketutu dibiarkan hidup dalam kolam bergantung pada permintaan pelanggan yang lebih gemar mendapatkan hidupan sungai masih hidup kerana ia lebih segar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.