Nelayan minta jalan penyelesaian ‘win-win’ antara syarikat kapal besar dan nelayan

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

PANTAI KUNDOR 4 Okt. – Masalah kehadiran kapal-kapal besar termasuk kapal yang membawa muatan pasir di perairan Pantai Puteri sehingga menjejaskan pendapatan nelayan sudah lama berlanjutan tanpa sebarang tindakan diambil bagi menyelesaikan kesusahan dialami golongan itu.

Ketua Komuniti Nelayan Kampung Pantai Puteri Azmi Leman berkata, dia mewakili nelayan di kampung itu tidak sama sekali menolak sebarang pembangunan berhampiran pantai tersebut, namun sekiranya ada kaedah penyelesaian yang boleh diambil bagi meringankan beban nelayan, itu sudah memadai bagi menampung kehidupan nelayan sekeluarga yang hidup bergantung kepada hasil laut.

Jelasnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kira-kira 30 kapal besar berlabuh sementara di tengah-tengah perairan itu.

“Sepanjang tempoh itu, agak sukar nelayan hendak memukat di kawasan perairan itu kerana mereka semua rata-ratanya menggunakan kaedah pukat hanyut hingga beberapa kali pukat tersangkut di kapal tersebut.

AZMI

“Ini mendatangkan kerugian kepada nelayan, sudahlah punca pendapatan hilang malah hendak betulkan semula pukat pun memerlukan kos,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dia yang juga Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Cawangan Melaka Tengah berkata, pembangunan di Jeti Tanjung Bruas mengambil jarak 500 meter untuk ditambak sehingga ke tengah laut dan pembangunan di kawasan itu tentunya memberi kesan terhadap pendapatan nelayan dalam tempoh empat lima tahun akan datang.

Berikutan itu katanya, kaedah penyelesaian perlu diambil antara syarikat kapal berkenaan dan golongan nelayan supaya kedua-duanya mendapat situasi menang-menang (win-win situation).

“Saya mengambil contoh di Port Klang, syarikat yang mengusahakan kapal besar memberi pampasan dengan memberikan sejumlah wang kepada golongan nelayan dan meminta mereka supaya tidak memukat di kawasan pelabuhan kapal-kapal besar itu, jadi mereka faham.

“Berbeza di perairan di sini kerana tiada sebarang perbincangan dibuat, malah jika kita turun ke laut dan berselisih dengan kapal besar, kita yang terpaksa beralah sebab kita bot kecil, buatnya dilanggarnya kita macam mana?” katanya.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Azmi Japar, 56 berkata, sejak akhir-akhir ini semakin banyak kapal besar berlabuh di perairan itu sehingga memberi kebimbangan kepadanya dan rakan-rakan nelayan untuk bekerja pada waktu malam.

“Saya tengok 24 jam kapal-kapal besar itu berlabuh di perairan kalau dulu ada masa-masa mereka.

“Kapal besar pun boleh berlanggar sama sendiri apatah lagi kami yang membawa bot kecil,” katanya.

Menurut kenyataan media dikeluarkan Jabatan Laut Malaysia (JLM), dalam kejadian 11.38 pagi kelmarin, kapal pengangkut pasir, MV Ocean Line 5001 mengalami kerosakan selepas dirempuh kapal tangki, MT Strovocos pada kedudukan kira-kira 2.4 batu nautika arah barat daya Terminal Tanjung Bruas, Perairan Tanjung Kling.

Pelanggaran itu bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan anak kapal atau memberi ancaman kepada alam sekitar seperti tumpahan minyak.

Views:

729
Kongsi :
Previous post PKPDB di Penjara Alor Setar bermula tengah malam ini
Next post Operasi Samseng Jalanan: 167 penunggang motosikal ke balai
Ubah saiz-+=