Sorting by

×

Nelayan Klebang terima jeti baharu bernilai RM700,000

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KLEBANG 26 Feb. – Pembinaan jeti nelayan baharu di Sungai Klebang kini mencapai 90 peratus, sekali gus bakal memberi manfaat kepada kira-kira 200 nelayan di sekitar Klebang, Limbongan dan Kota Laksamana apabila siap kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, jeti sepanjang hampir 60 meter itu antara jeti terpanjang di negeri ini dan dilengkapi dengan kemudahan asas mencukupi termasuk medan selera, besi tambat bot dan tandas.

Katanya, selain pembinaan jeti pihak pelaksana iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut mendalamkan kawasan sungai terbabit bagi memudahkan nelayan melabuhkan sampan dan bot mereka.

NORHIZAM (tengah) menyampaikan sumbangan kepada nelayan sambil diperhatikan Pengerusi Pertubuhan Pembela Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hassan (kiri) pada program menyerahkan kit makanan kepada nelayan di Jeti Nelayan Kebang Besar. Foto: MR. Azli

“Kita mewujudkan jeti ini dan menggabungkan nelayan-nelayan di Klebang, Limbongan, Tengkera dan Kota Laksamana bertujuan untuk memudahkan urusan kita serta agensi terlibat untuk menguruskan segala hal membabitkan nelayan.

“Dengan kewujudan satu jeti sahaja, ia bukan sahaja memudahkan urusan kita untuk mentadbir, tetapi juga jika berlaku sebarang masalah, kerja yang dilakukan akan lebih pantas dan tidak melibatkan perbelanjaan yang banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui meninjau persiapan jeti berkenaan selain menyampaikan bantuan kit makanan kepada nelayan di kawasan itu.

Hadir sama Pengarah JPS Melaka Abdul Hakim Hamzah, Pengarah Perikanan Melaka Mohd Fauzi Salehon dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka Rosli Mustapha.

Norhizam berkata, pihaknya akan terus menambah baik infrastruktur jeti nelayan di negeri ini secara berperingkat pada masa depan bergantung kepada peruntukan dan keadaan jeti tersebut.

MD SAID…bersyukur kerajaan bina jeti baharu untuk nelayan. Foto: MR. Azli

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Jeti Klebang Md Said Adam bersyukur apabila nelayan di kawasan terbabit bakal mendapat jeti baharu.

Katanya, dengan kewujudan jeti baharu itu, ia dapat membantu nelayan di kawasan terbabit untuk turun ke laut dan berusaha mengembangkan sektor perikanan negeri.

“Justeru, saya meminta semua nelayan agar menjaga kemudahan yang diberikan kerajaan ini dengan sebaik mungkin. Insya-Allah jika ia dipelihara dengan baik, ia akan dapat memberi manfaat kepada semua, termasuk generasi nelayan yang akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1587
Kongsi :
Previous post Mengaku terima rasuah, pegawai imigresen dipenjara 30 hari, denda RM40,000
Next post MASkargo lebih bersedia sambut vaksin COVID-19 Sinovac
Ubah saiz-+=