Negeri Sembilan peruntuk RM2.68 juta selaras acara pelancongan 2021
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata peruntukan berkenaan adalah bagi membantu sektor pelancongan yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 dan ia akan diselaraskan oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan.
“Ia akan ditentukan berdasarkan kriteria iaitu melibatkan pelancongan berskala kecil, mengurangkan program melibatkan kumpulan ramai dan mematuhi peraturan dan arahan yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa,” katanya ketika sesi Pertanyaan Lisan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, DUN Negeri Sembilan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Tun Hairuddin Abu Bakar (BN-Bagan Pinang) yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri bagi acara pelancongan di negeri ini pada 2021 jika negara masih berhadapan dengan pandemik COVID-19.
Aminuddin (PH-Sikamat) juga memaklumkan bahawa Lembaga Pelancongan negeri akan terus meningkatkan promosi pelancongan melalui pelaksanaan program-program tertentu bagi meningkatkan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara, setelah keadaan COVID-19 reda.
Menjawab soalan tambahan Tun Hairuddin mengenai langkah kerajaan bagi membantu sektor perhotelan dan inap desa sekiranya COVID-19 masih berterusan, menteri besar berkata kerajaan negeri sedang merangka dan akan mengambil tindakan sewajarnya melalui pemberian insentif dan bantuan kepada mereka yang terkesan.
“Ia akan diumumkan pada awal tahun hadapan,” katanya.
Persidangan DUN Negeri Sembilan berlangsung selama lima hari bermula hari ini.
— BERNAMA