Neelofa selesai beri keterangan di IPD Seremban
Ketika ditemui pemberita, Neelofa berkata kerjasama penuh telah diberikan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes itu.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata sepanjang proses siasatan dijalankan, Neelofa memberikan kerjasama yang baik selain mematuhi SOP COVID-19 ditetapkan.
Mohd Said dalam kenyataan pada Jumaat, memaklumkan pihaknya menerima laporan terhadap Noor Neelofa yang tidak mematuhi SOP iaitu pemakaian pelitup muka seperti diwajibkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada orang ramai, termasuk mereka mengenakan niqab penuh atau separuh.
Ia susulan gambar kehadiran Neelofa ke kompleks mahkamah berkenaan yang tular di media sosial dan media tempatan pada Khamis telah mengundang pelbagai respons yang mendakwa dia tidak memakai pelitup muka walaupun mengenakan niqab.
Noor Neelofa dan Muhammad Haris ke kompleks mahkamah itu bagi menghadapi tuduhan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di sebuah kedai karpet, di Nilai pada 2 Mei lalu.
Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.