Neelofa selamat bersalin anak lelaki

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PETALING JAYA 31 Jan – Pengacara dan usahawan, Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih dikenali Neelofa selamat melahirkan putera sulung lelaki di sebuah hospital di ibu negara Sabtu lalu.

Bayi lelaki yang dinamakan Muhammad Bilal bin Muhammad Haris itu turut dikongsikan dalam laman Instastory miliknya.

Suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail memaklumkan Neelofa dan bayi mereka berada dalam keadaan baik.

“Assalamualaikum. Alhamdulillah. Puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT untuk segala berkat dan rahmat-Nya, isteri saya, Noor Neelofa Mohd Noor telah selamat melahirkan putera sulung kami pada 29 Januari 2022 pukul 3.44 petang.

“Syukur alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan, kini isteri saya sedang berehat dan kami sedang melalui satu fasa yang sangat menggembirakan untuk kami sekeluarga.

“Saya dan Neelofa ingin merakamkan jutaan penghargaan dan rasa penuh bersyukur atas doa yang dikirim oleh anda semua. Terima kasih atas ingatan kalian sejak kami mendirikan rumah tangga sehinggalah kami menimang cahaya mata,” katanya.

Dia turut memohon orang ramai mendoakan kesihatan isteri dan bayi mereka.

“Sebagaimana kalian mendoakan kesejahteraan saya dan isteri tahun lalu, mohon titipkan juga doa-doa yang baik agar zuriat yang berada di pangkuan kami ini mampu menjadi khalifah yang dapat memberikan kebaikan kepada agama dan negara,” katanya lagi.

Berita kehamilan Neelofa hangat diperkatakan sejak Julai tahun lalu, namun bekas pengacara MeleTOP itu mengambil pendirian untuk mengunci mulut mengenai status kandungannya.

Untuk rekod, Neelofa, 33 dan Haris, 27 diijab kabulkan pada 26 Mac tahun lalu di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1349
Kongsi :
Previous post Bapa Azizulhasni meninggal dunia pagi tadi akibat strok
Next post Malaysia catat 26,365 kes demam denggi tahun lalu, terendah sejak sedekad – KP Kesihatan
Ubah saiz-+=