Nazam, seni warisan Melaka yang wajar diiktiraf UNESCO

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDA HILIR 5 Ogos – Institut Warisan Melaka (INSWA) sedang berusaha memartabatkan nazam sebagai seni warisan tidak nyata (intangible heritage) Negeri Melaka.

Pengurus Besarnya, Nurman Mohd Baroldin berkata, pihaknya kita sedang berusaha mengetengahkan seni itu agar ia dapat menerima pengiktirafan di peringkat Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Katanya, perkara itu tidak mustahil direalisasikan memandangkan nazam sememangnya satu cabang seni yang bermula di bumi bersejarah ini.

“Sebelum ini, kami berjaya membawa dondang sayang sehingga menerima pengiktirafan UNESCO dan sekarang kita sedang cuba ketengahkan nazam yang juga merupakan seni warisan Melaka.

“Nazam hanya ada di Melaka, di tempat lain tak ada dan menariknya, nazam juga ada diceritakan dalam buku Sejarah Melayu, Sulalatus Salatin sebagai satu budaya sejak zaman dahulu.

“Sebab itulah sekarang kita cuba bawakan nazam ini ke di peringkat UNESCO agar ia turut diiktiraf dalam senarai seni warisan tidak nyata di dunia,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut katanya, pihak INSWA telah melakukan pelbagai usaha untuk memulihara khazanah seni warisan itu termasuklah dengan mengadakan pertandingan nazam peringkat negeri bagi memastikan ia tidak luput ditelan zaman.

Katanya, melalui pertandingan yang dianjurkan itu, pihaknya berjaya mengumpulkan seramai 30 pasukan di seluruh Negeri Melaka, sekali gus membuktikan nazam masih mempunyai tempat di hati rakyat Melaka.

“Selain itu, kita juga cuba mengolah nazam kepada satu bentuk moden yang dipanggil nazam kreatif yang mana melalui nazam kreatif itu, ia akan dipersembahkan dengan memasukkan pergerakan-pergerakan kreatif bagi memastikan orang yang menontonnya tidak bosan.

“Sama seperti dondang sayang, yang mana ada kalanya kita telah suntik elemen tarian dan kita juga pernah suntik elemen dondang sayang rancak ketika The Grand Cultural Festival Melaka River 2019 yang lalu yang dipanggil dondang sayang mambo. Jadi, bila ada elemen baharu ini, penonton yang lihat akan celik mata dan lebih terhibur.

“Tapi pada masa sama, kita akan balikkan semula seni yang asli supaya orang ramai dapat tahu dan mengenal perbezaan elemen tradisional dan elemen yang lebih moden,” katanya.

Untuk rekod, nazam merupakan sejenis puisi lama yang dipengaruhi daripada gaya syair Arab. Ia biasanya dicipta oleh alim ulamak sebagai puji-pujian khususnya terhadap para nabi.

Views:

1646
Kongsi :
Previous post e-Learning tetap diteruskan selepas pandemik – KEMAS
Next post Ke arah sifar COVID-19, khilaf lalu jangan diulangi
Ubah saiz-+=