Sorting by

×

Nasihat jangan tengok video lucah punca kes buli di MRSM Kuala Kangsar

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

PASIR SALAK, 14 Dis – Siasatan awal polis mendapati, teguran supaya tidak menonton video lucah menjadi punca kejadian buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, minggu lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata teguran itu dibuat mangsa berusia 13 tahun terhadap seorang daripada suspek, menyebabkan pelajar berkenaan tidak berpuas hati dan marah sebelum berlakunya kejadian buli itu.

“Hasil temu bual dengan mangsa mendapati, punca pergaduhan atau mengapa dia dibuli itu adalah kerana dia telah menasihati seorang daripada suspek supaya jangan menonton video lucah di telefon bimbit.

“Jika tidak, hal itu akan diadu kepada kepada guru atau warden sekiranya suspek tidak berhenti menonton video lucah itu. Daripada siasatan, dikatakan inilah antara punca mengapa mereka bertindak memukul dan membuli mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi pertemuan bersama Ketua Agensi Polis Bantuan Kontinjen Perak Tahun 2021 di Dewan Agro Aman Jaya, Kompleks Perumahan Kakitangan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) Tanjung Tualang di sini hari ini.

Dilapor, polis menahan 10 pelajar sebelum ini bagi membantu siasatan kes buli didakwa berlaku di MRSM tersebut seperti tular dalam media sosial yang mana beberapa remaja dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada kira-kira 1 hingga 2 pagi pada 9 Dis melibatkan seorang mangsa yang juga berusia 13 tahun.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata pergaduhan itu pada awalnya hanya melibatkan mangsa dan seorang suspek, namun seorang pelajar Tingkatan Tiga telah bertindak menyuruh rakan-rakan lain menyerang mangsa.

“Pelajar berusia 15 tahun ini juga antara seorang yang ditangkap dan dia dikatakan telah mengarahkan enam pelajar lagi untuk memukul dan menendang mangsa,” katanya dan menambah pihaknya telah merakam percakapan 10 pelajar iaitu sembilan berusia 13 tahun dan seorang 15 tahun yang terlibat dan bersubahat dalam insiden itu.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan pada 10 dan 11 Dis lepas dan telah dibebaskan dengan jaminan polis pada keesokan harinya selain lapan saksi kes ini juga telah dipanggil memberi keterangan dan polis telah merampas 11 telefon bimbit untuk siasatan lanjut.

Tegasnya, dua laporan polis berhubung kejadian itu diterima masing-masing daripada pengetua sekolah dan bapa mangsa dan kes berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan sebaik siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selesai tidak lama lagi.

Ditanya mengenai keadaan mangsa, Mior Faridalathrash berkata pelajar tersebut kini menerima rawatan lanjut di sebuah hospital di Selangor dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederaan serius.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2009
Kongsi :
Previous post Belanjawan Melaka 2022: Permudahkan urusan rakyat, seimbang dan inklusif
Next post Lim Guan Eng masuk IJN, bicara kes rasuah tetap diteruskan
Ubah saiz-+=