Nasib warga emas tinggal di rumah tak berbumbung dapat perhatian
PENGKALAN RAMA 6 Jan – Nasib warga emas, Tan Ah Chang, 74 tahun, yang tinggal di rumah tidak berbumbung akibat rosak dipukul ribut di Kampung Pengkalan Rama mendapat perhatian kerajaan negeri.
Kesusahan itu segera mendapat respon Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Kampung Pengkalan Rama dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengadakan lawatan ke rumahnya, baru-baru ini.
Ahli Majlis MBMB Roger Tan Wei Jian memaklumkan hasil lawatan mendapati kerosakan rumah tersebut agak kritikal kerana sudah dimakan anai-anai yang menyebabkan kerja-kerja baik pulih menelan kos yang besar.
Katanya, disebabkan rumah berkenaan adalah rumah sewa maka dia tidak layak mendapat bantuan perumahan sedia ada ditawarkan oleh kerajaan.
Namun, pihaknya akan tetap membantu menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MBMB bagi mengatasi masalah yang dihadapi.
“Kita akan merangka lawatan kedua bersama pihak MBMB dalam masa terdekat bagi menilai secara terperinci kerosakan yang berlaku dan alternatif lain yang boleh diambil untuk jangka masa pendek ini.
“Pada masa yang sama, kita akan bantu warga emas ini mendapatkan bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung olehnya,” katanya.
Sementara itu, Ah Chang, berkata, dia telah mendiami rumah tersebut sejak lebih 30 tahun lalu dan tidak mampu menanggung kos pembaikan kerana tidak lagi bekerja selain bergantung hidup melalui belas ihsan daripada jirannya.
Katanya, rumah itu tidak berbumbung sejak lebih seminggu lalu akibat dipukul ribut hingga menyebabkan rumahnya dimasuki air setiap kali hujan.
“Sudah hampir seminggu rumah tidak berbumbung setelah rosak akibat dipukul ribut sejak beberapa hari lalu dan sudah banyak kali rumah dimasuki air setiap kali hujan.
“Diharap kerja pembaikan dapat dilakukan dan saya berterima kasih di atas kesudian kerajaan negeri melihat sendiri kesusahan yang dialami,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.