Nasib tiga rakan, ke penjara, didenda
AYER KEROH 10 Mei – Akibat mencuri seutas rantai emas seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, menjatuhkan hukuman itu keatas tertuduh R C Navaratnam, 21, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Navaratnam didakwa dengan niat curang mencuri seutas rantai emas bernilai kira-kira RM5,000 milik sebuah kedai emas di di Jalan Kee Ann kira-kira jam 2.30 petang pada 20 April lalu.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pada akhir penghakiman, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 20 April lalu.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan dihadapan Majistret sama dua rakan baik Navaratnam,Navaratnam iaitu S T Prakash, 23, dan K M Vinoth, 21, masing-masing didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah bagi kesalahan dibawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Mengikut pertuduhan yang dibaca secara berasingan, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki atau menyimpan beberapa barangan kemas, sejumlah wang tunai dan invois.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di dua lokasi berasingan di Taman Seri Bayan dan Taman Desa Damai Cheng kira-kira 10 malam, hujung bulan lalu.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri manakala kesemua tertuduh diwakili peguam N Gunalan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.