Sorting by

×

Nasib nelayan diberi keutamaan

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

KOTA MELAKA 10 November – Kerja mendalamkan sungai dan penyelenggaraan jeti nelayan khususnya di Jeti Nelayan Tanjung Nibong dan Sungai Punggor, Alai, di sini, akan dipercepatkan serta diberi keutamaan oleh calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Melaka, sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Kon Qi Yao berkata, pemasalahan yang disuarakan oleh nelayan perlu tindakan dan penyelesaian segera kerana penduduk di kawasan itu sememangnya bergantung pendapatan dengan turun ke laut menangkap hasil laut.

Katanya, sekiranya pemasalahan ini terus membelenggu mereka sudah pasti akan menjejaskan pendapatan.

“Daripada lawatan saya ke dua lokasi ini mereka mengadu masalah sama, apabila air surut mereka tidak dapat masuk ke jeti ataupun keluar untuk menangkap ikan. Apa yang membimbangkan saya sekiranya ia berterusan dan ada rakan mereka yang berada di laut berlaku kecemasan serta perlukan pertolongan bagaimana, nelayan ini ingin keluar membantu.

“Jadi apa yang perlu saya fikirkan, kita binakan ‘breakwater’ atau melakukan kerja mendalamkan laluan masuk ke jeti.

“Namun untuk proses ini kita perlu mendapatkan maklumat dan jalankan kajian terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas bertemu nelayan di Jeti Nelayan Tanjung Nibong dan Sungai Punggor, Alai, hari ini.

WhatsApp Image 2022-11-10 at 5.27.51 PM
Kon Qi Yao bersama Datuk Akramuddin (dua dari kanan) bertemu nelayan di Jeti Nelayan Tanjung Nibong dan Sungai Punggor, Alai

Menurutnya juga, pembangunan infrastruktur di Jeti Nelayan Tanjung Nibong juga akan dilaksanakan kerana keadaan di situ sudah uzur dan perlu dibina baharu bagi keselesaan dan kemudahan nelayan.

“Di sini perlukan jeti, kita lihat jeti sedia ada sudah uzur dan kalau boleh kita akan bantu buat jeti baharu untuk nelayan malah kelengkapan peralatan menangkap ikan yang juga kita akan lihat dan bantu.

“Ini kita akan bekerjasama dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas. Justeru, sekiranya saya diberi mandat oleh penduduk saya akan bawa hal ini ke Kerajaan Pusat untuk didengar sekaligus dapat merealisasikannya,” katanya.

Beliau yang mesra disapa Ah Kon berkata, selain itu kos bayaran bulanan jalur lebar bagi penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di Balai Nelayan Sungai Punggor Alai, akan dibiaya olehnya sekiranya pada 19 November ini rakyat memilih dirinya.

“CCTV sudah dipasang dan hanya boleh diakses di sini sahaja, jadi nelayan perlukan Unifi untuk memudahkan mereka memantau keadaan bot dan sekeliling balai ini daripada telefon bimbit mereka jadi untuk itu, saya lihat ia memang keperluan dan perbelanjaan itu tidak jadi masalah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1925
Kongsi :
Previous post Anak pemandu e-hailing Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UTeM
Next post Teroka galeri pisau
Ubah saiz-+=