Nasib lima beranak sebilik dapat perhatian MAIM
BANDA HILIR 3 Julai – Nasib lima beranak yang tinggal terpaksa tinggal di bilik kecil di sebuah bangunan bekas hotel bajet di Jalan Munsyi Abdullah, di sini, mendapat perhatian Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil semakan mendapati pasangan terbabit, Syed Sidiq Shahabudin Syed Abdul Aziz, 42 dan isteri Erala Ismail, 45 mula tinggal di bilik berkenaan bersama tiga anaknya berusia 16, 12 dan 10 tahun itu sejak tiga tahun lalu dengan sewa RM350 sebulan.
Menurut kenyataan itu, keluarga itu antara yang terjejas teruk sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila ketua keluarga yang bekerja sebagai pembantu medan selera dengan upah RM35 sehari tidak dapat keluar bekerja selain isterinya yang turut bekerja di sebuah kedai menerima bayaran gaji tidak menentu.
Kunjungan MAIM menerusi program Jejak Asnaf yang diketuai Setiausahanya, Muhammad Ikram Ibrahim semalam, telah mendapatkan maklumat lanjut mengenai bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kerajaan negeri.
Dalam lawatan berkenaan itu juga MAIM menyampaikan bantuan wang tunai dan makanan asas kepada keluarga terbabit.
“Di samping itu, MAIM turut meluluskan Bantuan Makanan Bulanan yang akan bermula pada Ogos 2021 selama setahun selain turut memberikan Bantuan Anak Sekolah, Bantuan Pakaian Sekolah dan Bantuan Ramadan Syawal.
“MAIM juga telah meluluskan bantuan deposit sewa rumah bagi keluarga terbabit mendapatkan rumah yang lebih selesa untuk didiami yang mana rumah sewa baharu itu akan dicari sendiri oleh pasangan itu dengan bantuan pihak JAPERUN Banda Hilir yang menjadi antara terawal menghulurkan bantuan,” kata kenyataan tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan kisah kehidupan lima beranak yang dihimpit kesusahan sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa 1 dilaksanakan bermula 1 Jun lalu di sebuah bilik di Jalan Munsyi Abdullah.
Difahamkan, pasangan itu terpaksa mengikat perut dan makan sekali sehari sejak pendapatan mereka terjejas dek pandemik COVID-19 yang melanda.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.