NASIB ENAM BERADIK YATIM PIATU DAPAT PERHATIAN KERAJAAN NEGERI
PANTAI KUNDOR 4 Januari – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diharap dapat membantu menyegerakan proses permohonan Mykad dan Mykid enam beradik yatim piatu.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, jika dibiarkan berlarutan, ketiadaan dokumen pengenalan diri itu dikhuatiri akan membantutkan usaha untuk membantu enam beradik berkenaan termasuk daripada aspek akademik.
Kalsom berkata, pihaknya dimaklumkan proses permohonan itu sudah dibuat pada 2021 namun tertangguh dan kini ia diperingkat menunggu kelulusan taraf kewarganegaraan.
“Semua sedia maklum dokumen pengenalan diri ini amat penting terutamanya apabila membabitkan hal berkaitan persekolahan, jadi dalam situasi enam beradik ini yang sudah tiada tempat bergantung kita akan membantu sebaiknya.
“Kita tidak mahu hal ini akan membebankan mereka adik-beradik selain bantuan yang sepatutnya mereka layak tidak dapat disalurkan kerana ketiadaan Mykad dan Mykid,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni enam beradik yatim piatu itu bersama Adun Pantai Kundor Tuminah Kadi @Mohd Hashim, di Kampung Tangga Batu Pekan, semalam.
Menurut Kalsom, dengan adanya dokumen pengenalan itu nanti ia akan memudahkan agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk menyalurkan bantuan secara terus kepada enam beradik terbabit.
“Difahamkan enam beradik ini berada di bawah perhatian dan dibantu oleh MAIM, selain itu JKM bersama komuniti setempat akan bersama-sama memantau perkembangan mereka,” katanya.
Media pada 2021 pernah melaporkan mengenai nasib enam beradik berkenaan yang tidak mempunyai sijil kelahiran sebelum mendapat keperihatinan Ketua Menteri pada ketika itu iaitu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Sulaiman kemudian menyerahkan sendiri dokumen pengenalan diri itu kepada enam beradik berkenaan di kediaman mereka.
Selepas kematian ibu dan bapa mereka, enam beradik itu dijaga oleh ibu saudaranya yang juga orang kurang upaya (OKU).
Namun kini enam beradik itu hilang tempat bergantung apabila wanita berkenaan meninggal dunia pada 1 Januari lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.