Nasib dua warga emas ‘tersisih’ dapat pembelaan kerajaan negeri
PENGKALAN BATU 28 Jan. – Nasib dua gelandangan yang hilang tempat bergantung dan masing-masing terpaksa menghuni bangunan terbengkalai dan pondok usang terbela dengan keprihatinan kerajaan negeri menghulurkan bantuan.
Sebaik menerima aduan awam mengenai gelandangan terbabit, Bahagian Khidmat Musa’adah (BKM) Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) membuat siasatan dan memutuskan supaya mereka segera dibantu termasuk diberikan tempat tinggal.
Pengarah BKM, Sha’ari Samsudin berkata, gelandangan pertama, lelaki berusia 67 tahun dikenali sebagai Mohd Yusof telah diberikan tempat tinggal di Pangsapuri Rumah Milik Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Padang Jambu setelah dikesan menghuni sebuah bangunan kedai terbengkalai di Taman Paya Rumput.
Katanya, warga emas berasal dari Pulau Pinang itu disyaki diabaikan anak tunggalnya dan hilang tempat bergantung.
“Setelah menjalankan siasatan dan tinjauan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), MAIM dan agensi lain, segala bantuan diperlukan akan disegerakan buatnya.
“JKM juga bakal menyalurkan bantuan bulanan yang diharap mampu menyara kehidupannya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, katanya gelandangan kedua, wanita berusia 76 tahun dikenali sebagai Aminah dari Semabok turut kehilangan tempat tinggal dan terpaksa menetap di pondok milik sepupunya.
Katanya, Aminah yang menghidapi kanser tahap dua turut diberikan bantuan segera termasuk bantuan Rumah Prihatin bagi memastikan kelangsungan hidupnya.
“Kita dapati Aminah akan bermalam di pondok itu dan pada siang hari dia berteduh di bawah pokok berdekatan pondok itu.
“Kerajaan negeri akan menyegerakan proses permohonan Rumah Prihatin untuknya di atas tanah miliknya bersebelahan pondok itu.
“Buat sementara warga emas ini akan menetap sementara pondok itu sebelum bantuan perumahan itu siap kelak,” katanya