NanoMalaysia lancar 2 program pacu pengkomersialan Nanoteknologi
KUALA LUMPUR 1 Ogos – NanoMalaysia Bhd (NMB) akan melancarkan dua program inovatif untuk terus memacu pengkomersialan nanoteknologi, iaitu, program REVOLUTIoNT dan Hydrogen EcoNanoMy.
Dalam kenyataan, katanya REVOLUTIoNT akan memudahkan dan mengkomersialkan penghasilan harta intelek, produk dan penyelesaian sistem yang kompleks dan bernilai.
Sementara itu, Hydrogen EcoNanoMy akan menggunakan teknologi Hidrogen yang dihasilkan di tapak NanoMalaysia bagi mewujudkan Ekosistem Industri Hidrogen Negara untuk sektor tenaga.
Program itu sebahagian daripada peranannya sebagai antara agensi pelaksana bagi segmen utama Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.
“Peranan NMB dalam Dasar 4IR Negara adalah penting dalam memacu Malaysia ke arah mencapai aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030 untuk menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030,” kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Mohamed Hashim.
Beliau berkata, 4IR yang menjadikan nanoteknologi sebagai antara tonggak teknologi utama dijangka akan meningkatkan produktiviti semua sektor sebanyak 30 peratus pada 2030 dan menyumbang kepada peningkatan bilangan pekerja mahir negara serta pengeluaran produk nilai tambah lebih tinggi.
Dari 2016 – 2020, NanoMalaysia melaksanakan 52 projek pembangunan produk; 41 projek peningkatan skala serta menyokong dan menghasilkan campuran 22 syarikat usaha sama dan syarikat permulaan.
NMB turut berjaya membangunkan 55 Harta Intelek (IP); 25 paten; 17 hak cipta; 4 rahsia perdagangan; 5 tanda perdagangan dan 4 inovasi utiliti yang telah difailkan dengan MyIPO; dan mengkomersialkan 166 jenis produk.
Selain itu, NanoVerify Sdn Bhd (NVSB), sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh NanoMalaysia Berhad telah memperakui 118 jenis produk menerusi NANOVerify, program pensijilan nano yang pertama dan satu-satunya di Malaysia dengan pengiktirafan dan penerimaan oleh Taiwan Nanotechnology Industry Association (TANIDA).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.