Nak tunjuk samseng konon
JASIN 14 Ogos – Aksi samseng seorang remaja lelaki menunggang motosikal secara merbahaya di Jalan Melaka-Muar ketika cuba meloloskan diri dari polis berakhir apabila dia ditahan di rumahnya petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, terdahulu, remaja lelaki berusia 18 tahun itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Jasin hendak melaksanakan Op Motosikal di kawasan Perindustrian Kilang Berapi, Merlimau.
Katanya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin sebelum itu telah membuat tinjauan dan mendapati terdapat sekumpulan individu bermotosikal berkumpul di kawasan berkenaan.
Menurutnya, apabila menyedari kehadiran polis melakukan penutupan jalan di kawasan itu, remaja yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR atau dikenali Y-Suku itu dipercayai cuba melarikan diri.
“Ketika melarikan diri remaja terbabit bukan sahaja didapati menunggang dalam keadaan melulu dan merbahaya malah membuat aksi zig-zag melalui Jalan Melaka-Muar.
“Pasukan polis mengekorinya kira-kira 6.5 kilometer sehingga remaja lelaki itu menghala balik ke rumahnya di Taman Pulai Indah, Jasin sebelum berjaya ditahan dan motosikalnya turut dirampas,” katanya.
Tambahnya, dalam operasi sama polis turut menahan seorang remaja berusia 15 tahun selepas didapati melakukan aksi merbahaya dengan mengangkat tayar hadapan motosikal ditunggangnya.
“Kedua-dua mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu,” katanya.
Mengulas lanjut, Mispani berkata, dalam operasi itu, sejumlah 32 motosikal diperiksa dan hasilnya sebanyak 48 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
“Kesalahan ubah suai motosikal, nombor pendaftaran serta tidak memakai topi keledar antara yang direkodkan paling tinggi.
“Malah sebanyak lapan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) turut dikeluarkan,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.