Sorting by

×

Nak pinjam RM200,000 doktor rugi RM72,000

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 26 Feb – Doktor lelaki yang mahu membuat pinjaman RM200,000 kerugian lebih RM72,000 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud awal Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata mangsa yang bertugas di sebuah hospital di negeri ini melayari laman Facebook minggu lalu sebelum tertarik dengan sindiket yang menawarkan pinjaman wang berkenaan.

Katanya, mangsa kemudian berurusan dengan sindiket itu menerusi panggilan telefon dan bersetuju untuk membuat pinjaman wang berjumlah RM200,000.

“Bagi membolehkan pinjaman wang itu diluluskan, mangsa diarahkan untuk membuat pelbagai bayaran tertentu termasuk duti stem dan wang proses.

“Akibat percaya dengan sindiket itu, mangsa telah melakukan tujuh transaksi pembayaran yang keseluruhannya berjumlah RM72,165.74 ke dalam tiga akaun berbeza,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri Superintendan E. Sundra Rajan. Gambar fail.

Menurut Sundra Rajan, selepas membuat pembayaran itu sindiket berkenaan masih meminta wang bayaran sehingga mangsa menyedari yang dirinya ditipu,

“Sehingga kini, mangsa tidak menerima pinjaman wang sebagaimana dijanjikan.

“Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah semalam bagi siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu,” katanya.

Jelasnya, hasil semakan mendapati nombor telefon digunakan sindiket untuk memperdaya mangsa mempunyai sembilan laporan menggunakan modus operandi yang sama.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat pinjaman melalui institusi kewangan tidak berlesen dan membuat semakan nombor telefon atau nombor akaun yang meragukan melalui www.ccid.rmp.gov.my serta menggunakan aplikasi Check Scammers.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

802
Kongsi :
Previous post MASkargo lebih bersedia sambut vaksin COVID-19 Sinovac
Next post Gagal hadir janji temu suntikan vaksin boleh dikenakan tindakan
Ubah saiz-+=