NAIKKAN HARGA MINUMAN, KOPITIAM TERIMA NOTIS TUNJUK SEBAB
ALOR GAJAH 28 Oktober – Pengusaha sebuah kopitiam di Batu Berendam yang didakwa menaikkan harga minuman sebanyak tiga kali dalam tempoh tidak sampai setahun, menerima notis tunjuk sebab daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka.
Pengarah KPDN Melaka Norena Jaafar berkata, terdahulu pihaknya menerima aduan daripada pelanggan pada Selasa sebelum ke premis berkenaan untuk melakukan pemeriksaan pada Jumaat.
Norena berkata, kenaikan harga berlaku dalam julat yang besar iaitu kira-kira 70 peratus, berikutan itu pihaknya mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).
“Pelaksanaan gaji minimum antara alasan diberikan oleh penguasaha kopitiam berkenaan, walaubagaimanapun kami sedang menunggu mereka mejawab notis tunjuk sebab diserahkan sebelum ini dan perlu berbuat demikian dalam tempoh 15 hari atau sebelum 5 November depan.
“Jawapan diterima akan dianalisa untuk mengesan wujud elemen pencatutan atau sebaliknya, sebenarnya premis menjual makanan juga termasuk dalam pemantauan berkala yang kami lakukan. Penguatkuasaan ini bagi memastikan harga makanan ditawarkan kepada pelanggan adalah berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan oleh Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin, di sebuah pasar raya di Alor Gajah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.